Omar Osman


Sungai Petani: Kediaman Cikgu Abd Ghani Haron, 60, di Kampung Masjid,Tikam Batu di sini, sekali lagi menjadi tumpuan apabila pesara guru itu mengagihkan minyak secara percuma kepada orang ramai, hari ini.

Cikgu Ghani mula mengagihkan 1,200 botol minyak masak bernilai RM10,920 secara percuma selepas subuh tadi kepada orang ramai yang berbaris sejak awal pagi menyebabkan jalan masuk ke rumahnya menjadi sesak.

Dalam masa sejam 1,200 botol minyak masak yang diperuntukkan Cikgu Ghani dan rakan Facebook (FB) habis diagihkan kepada orang ramai khususnya kaum ibu.

Menurut Cikgu Ghani, ini kali kedua dia dan rakan FB memberi minyak masak percuma kepada orang ramai, namun bulan lalu hanya 900 botol sahaja yang diagihkan dan kali ini ditambah 300 lagi menjadi 1,200 botol.

"Saya dapati mereka yang datang mendapatkan minyak masak bukan sahaja penduduk sekitar Tikam Batu malah yang datang dari Pantai Merdeka, Kota Kuala Muda, Flet Paya Nahu dan juga Penaga, Kepala Batas.

"Saya dapati mereka ini terdiri dari keluarga kurang kemampuan dan memerlukan barangan seperti minyak dan barangan lain... sebab itu mereka sanggup datang biar pun agak jauh.

"Jadi saya dan rakan FB akan terus melakukan sedekah jariah ini mengagihkan secara percuma barangan keperluan harian. Mulai tahun depan saya dan rakan akan beri minyak petrol,susu kanak-kanak dan lampin pakai buang," katanya.

Berita berkaitan:

Rezeki 1,500 penunggang [METROTV]

Terima kasih Cikgu Ghani [METROTV]

’Maaf, tak semua dapat' [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Disember 2016 @ 11:08 AM