Omar Osman


Sungai Petani: Lebih 2,000 penunggang motosikal berbaris panjang di stesen minyak Tikam Batu di sini, seawal 6.30 pagi tadi bagi mengisi petrol RON95 secara percuma.

Petrol percuma itu disumbangkan oleh peniaga katering yang juga bekas pegawai Pejabat Pendidikan Daerah ( PPD) Kuala Muda, Cikgu Abdul Ghani Haron, 60, yang aktif dalam kegiatan kebajikan bersama rakan Facebook (FB)nya.

Malah program ini kali ketiga diadakan pihaknya dalam usaha meringankan beban rakyat.

Penunggang motosikal terdiri daripada pekerja pelbagai sektor yang bekerja sekitar Sungai Petani, Butterworth dan Prai, Pulau Pinang berbaris bagi mengisi minyak percuma dari 6.30 pagi.

Menurut Cikgu Ghani, sumbangan petrol percuma ini adalah sebahagian daripada progam sedekah jariah dilakukan bersama rakan FBnya dalam usaha meringankan beban masyarakat .

"Dalam keadaan ekonomi yang kurang baik ditambah dengan kenaikan harga minyak petrol, pasti memberi beban dan kesan kepada masyarakat terutama mereka yang kurang berkemampuan.

"Saya berharap dengan pemberian minyak percuma sedikit sebanyak dapat meringankan beban golongan sasar.

"Seperti sebelum ini, saya tidak tidak menetap berapa wang bagi program minyak petrol percuma ini tetapi jumlahnya lebih daripada sebelum," katanya ketika ditemui di stesen minyak itu, hari ini.

Katanya, dia menganggarkan jumlah sumbangan minyak percuma itu sekitar RM8,000 ke RM10,000.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Februari 2017 @ 10:28 AM
PENUNGGANG motosikal tidak melepaskan peluang beratur untuk mengisi minyak petrol percuma. FOTO Omar Osman
PENUNGGANG motosikal tidak melepaskan peluang beratur untuk mengisi minyak petrol percuma. FOTO Omar Osman