ALWI Ibrahim. FOTO Mohd Fadli Hamzah
ALWI Ibrahim. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Mohd Husni Mohd Noor


Kementerian Dalam Negeri (KDN) tegaskan kematian seorang pelajar maut dipukul di Pokok Sena, Kedah, Jumaat lalu berlaku di Asrama Akhlak (Lelaki) Pokok Sena bukannya Pusat Pemulihan Akhlak Pokok Sena sebagaimana dilaporkan media sebelum ini.

Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata, pihaknya ingin menjelaskan kekeliruan yang wujud berhubung kematian seorang pelajar, Mohamad Shukri Kassim pada Jumaat lalu yang mengaitkan Asrama Akhlak (Lelaki) Pokok Sena, Kedah sebagai institusi di bawah Jabatan Penjara Malaysia.

"Kami ingin menegaskan bahawa asrama berkenaan berada di bawah pentadbiran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kedua-dua institusi berkenaan adalah dua institusi yang berbeza dan pihaknya hanya ingin memaklumkan bahawa Pusat Pemulihan Akhlak Pokok Sena, Kedah adalah di bawah tanggungjawab Jabatan Penjara Malaysia, KDN.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2016 @ 7:10 PM