Pengerusi Lembaga Penapis Filem (LPF) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Abdul Halim Abdul Hamid (kiri) bersama Mohd Zamberi menunjukkan poster Karnival 60 Tahun LPF.
Pengerusi Lembaga Penapis Filem (LPF) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Abdul Halim Abdul Hamid (kiri) bersama Mohd Zamberi menunjukkan poster Karnival 60 Tahun LPF.
Oleh Mohd Husni Mohd Noor


Karnival Lembaga Penapisan Filem (LPF) 2014 bertemakan 'Setiap Babak, Ada Impak' mencipta sejarah sebagai program yang dilaksanakan hasil kerjasama antara agensi kerajaan dengan penggiat industri perfileman dan penyiaran Malaysia.

Penganjuran karnival yang bermula semalam dan hari ini di pusat beli-belah Alamanda, Putrajaya adalah cetusan idea Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menerusi kaedah pelaksanaan secara perkongsian bijak antara kerajaan dan pihak industri perfileman serta penyiaran swasta tempatan, karnival yang diadakan sempena ulang tahun ke-60 penubuhan LPF itu menyaksikan kos penganjuran ditanggung kerajaan pada kadar minimum iaitu terhad kepada aspek infrastruktur dan logistik, manakala kos utama penganjuran, terutama membabitkan pengisian acara karnival selama dua hari itu, ditampung pihak industri.

Ahmad Zahid selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Karnival LPF menyatakan, penganjuran karnival itu bertujuan mengeratkan lagi hubungan di samping meningkatkan jaringan kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN), khususnya LPF, dengan penggiat industri perfileman.

"Selain itu, karnival ini diadakan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap peranan LFF dalam industri perfileman negara dan mendekatkan lagi agensi yang diselia KDN, khususnya LPF, kepada masyarakat, sekali gus menjelaskan fungsi dan tanggungjawab besar yang perlu dipikul oleh LPF," katanya.

Beliau berkata, penganjuran karnival dengan kerjasama Golden Screen Cinema itu juga pasti menarik perhatian ramai apabila mengadakan tayangan adegan yang tidak mematuhi garis panduan penapisan filem atau adegan filem yang tidak disunting atau dipotong kepada penonton bertuah.

"Ini dilakukan bagi tujuan mendidik masyarakat dan memberi peluang kepada masyarakat menilai kenapa sesuatu adegan atau babak itu perlu ditapis secara teliti dan dipotong oleh LPF.

"Babak yang selama ini dianggap sensitif adalah yang berunsur seks, ganas keterlaluan dan yang menyentuh sensitiviti agama serta politik dan wajar difahami semua kaum dan lapisan masyarakat," katanya.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai tayangan adegan filem tidak dipotong itu, Setiausaha Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan KDN, Mohd Zamberi Abdul Aziz berkata, seramai 400 pengunjung bertuah akan dipilih menerusi beberapa sesi kuiz sebelum dibenarkan menonton tayangan video berdurasi 30 minit itu yang menggabungkan filem tempatan dan antarabangsa.

"Kami mahu orang ramai yang terpilih menyaksikan adegan filem dipotong itu menilai sendiri sama ada ia patut disiarkan atau tidak.

"Ramai menyangka hanya adegan seks menjadi tumpuan kami. Sebenarnya, kami turut melihat segenap aspek, termasuk adegan ngeri, menyentuh sensitiviti kaum, berkaitan akidah dan moral serta penggunaan bahasa, perkataan atau dialog yang tidak sesuai," katanya.

Beliau berkata, pelbagai program dan acara dirangka sepanjang dua hari karnival, termasuk aktiviti diselia stesen televisyen, syarikat penerbitan filem dan syarikat produksi filem, termasuk program rakaman televisyen secara langsung.

"Sebanyak enam stesen ­televisyen tempatan mengambil bahagian selain tiga syarikat penerbitan filem dan tiga syarikat produksi filem, termasuk agensi di bawah KDN.

"Acara lain yang berlangsung termasuk sesi ramah mesra bersama artis terkenal, wayang pacak dan promosi filem," katanya.

Dalam perkembangan sama, antara stesen televisyen yang mengambil bahagian pada karnival berkenaan ialah Radio Televisyen Malaysia (RTM), rangkaian televisyen kumpulan Media Prima Bhd, HyppTV, TV Al-Hijrah, ABN Xcess dan Astro.

Selain itu, agensi kerajaan yang menyertai karnival itu termasuk Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), manakala pengedar filem pula membabitkan MIG Production Sdn Bhd (MIG), Pesona Pictures dan Tayangan Unggul.

Beberapa persatuan perfileman turut serta seperti Persatuan Karyawan, Persatuan Penerbit Filem Malaysia dan Malaysian Screen Industry, termasuk pihak pawagam iaitu Golden Screen Cinemas.

Penonton yang hadir pada hari pertama karnival berpeluang menyaksikan wayang pacak filem Bikers Kental yang menampilkan pelakon Zizan Razak, Awie, Zul Ariffin, Harun Salim Bachik, Bront Palarae, Pornwipa Watcharakaroon, Julangtip Sukkasem, Amerul Affendi dan Sufia Mohamed bermula jam 8 malam.

Pada hari sama, Media Prima menampilkan beberapa artis di khemah pamerannya termasuk Nadia Nissa, Zoey Rahman, Puteri Chichi, Josiah Hogan dan Encik Mimpi, termasuk pemberian cenderahati kepada pengunjung.

Selain itu, HyppTV akan melakukan demo rakaman 'Dapur Bujang' dan persembahan pemuzik jalanan selain kuiz, manakala Astro pula akan membawa peserta final AF 2014 selain peserta Maharaja Lawak Mega 2014 iaitu Shiro dan Jambu.

Pada hari kedua pula, Ahmad Zahid akan melakukan majlis perasmian sebelum pihak kenamaan dibawa menonton sesi tayangan adegan dipotong di pawagam GSC Alamanda.

RTM pula menampilkan sesi interaktif menerusi program Deejay Radio NEGERIfm dan persembahan pemuzik jalanan.

Mengenai LPF pula, agensi kerajaan itu ditubuhkan mengikut Seksyen 3 Akta Filem (Penapisan) 1952 (disemak tahun 1971) dan pada awalnya diletakkan di bawah Kementerian Penerangan sebelum diletak di bawah pentadbiran KDN.

Melalui penyusunan semula Kabinet pada 27 Mac 2004, LPF diletakkan di bawah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan dinamakan sebagai Bahagian Kawalan Filem (BKF). Setelah ­penggabungan semula KHEDN dan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN), LPF kembali kekal sebagai satu institusi di bawah seliaan KDN.

LPF mempunyai misi iaitu mentadbir urus penapisan filem dan bahan publisiti filem serta melaksanakan penguatkuasaan dengan cekap dan berkesan dan dengan objektif, memastikan semua filem dan bahan publisiti filem yang dibuat, dikeluarkan, dimiliki, dijaga, dikawal, ditayang, dipamer, atau dijual di Malaysia sudah ditapis dan diluluskan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 November 2014 @ 5:02 AM