Mayat Mohammad Amiro diusung untuk dibawa ke hospital.
Mayat Mohammad Amiro diusung untuk dibawa ke hospital.

Oleh Khairul Hamizy Ramlee

[email protected]

Kuala Terengganu: Selepas seminggu hilang, Mohammad Amiro Farhan Alias, 16, yang lemas ketika mandi di muara sungai Kuala Ibai, Ahad minggu lalu ditemui terdampar di pesisir pantai Pulau Kapas jam 3.30 petang tadi.

Mayat remaja itu ditemui pekerja chalet di pulau berkenaan.

Sebelum ini, mangsa dikatakan mandi di muara sungai Kuala Ibai bersama rakannya, Mohd Shafiq fikri Saifuding jam 2.30 petang Ahad minggu lalu sebelum lemas.

Usaha bomba mencari dan menyelamatkan mangsa sejak seminggu lalu tergendala disebabkan ombak kuat dan angin kencang yang melanda kawasan pantai dan lautan berhampiran lokasi kejadian.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Kuala Terengganu berkata, mayat mangsa dibawa pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Terengganu (APMM) dan dibantu oleh beberapa anggota bomba yang tiba di jeti APMM kira-kira jam 10.30 malam tadi.

"Ketika ini proses pengecaman oleh ahli keluarga mangsa sedang dilakukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Disember 2014 @ 10:54 PM