PASUKAN mencari dan menyelamat menjalankan gerakan mencari mangsa lemas di Pantai Kuala Ibai.
PASUKAN mencari dan menyelamat menjalankan gerakan mencari mangsa lemas di Pantai Kuala Ibai.
Oleh Khairul Hamizy Ramlee

Kuala Terengganu: Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dikhuatiri lemas ketika mandi bersama seorang rakannya di muara sungai berhampiran Pantai Kuala Ibai, di sini, 2.30 petang tadi.

Mangsa, Mohd Amirul Farhan Alias, 16, dihanyutkan arus deras selepas kakinya tersangkut dalam lumpur di dasar muara sungai itu.

Rakan mangsa, Mohamad Shafiq Fikri Saifuding, 20, berkata dia turut lemas ketika kejadian itu namun berjaya menyelamatkan diri dengan menyelam untuk mengeluarkan kaki yang tersangkut dalam lumpur sebelum berenang ke tepi pantai.

Katanya, dalam kekalutan itu dia sempat menjerit kepada mangsa supaya bertindak sama sepertinya namun gagal menyebabkan rakannya terus dibawa arus deras menghala ke laut.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu Pegawai Bomba Kanan ll Faizal Abu Bakar berkata, seramai tujuh anggota dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu digerakkan ke lokasi kejadian dan usaha mencari serta menyelamat masih terus dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Disember 2014 @ 5:15 PM