NATIPAH.
NATIPAH.
ACAN, kanak-kanak jantung berlubang di Muar yang dibantu Natipah menerima kunjungan Tunku Mahkota Johor,
ACAN, kanak-kanak jantung berlubang di Muar yang dibantu Natipah menerima kunjungan Tunku Mahkota Johor,
MENCERIAKAN masyarakat Orang Asli.
MENCERIAKAN masyarakat Orang Asli.
ZIARAH hospital antara aktiviti Natipah.
ZIARAH hospital antara aktiviti Natipah.
 KELUARGA kebanggaan Natipah yang menyokong dan memberi semangat kepadanya.
KELUARGA kebanggaan Natipah yang menyokong dan memberi semangat kepadanya.
Kusyi Hirdan


Dia dari Kedah, penulis dari Melaka. Ia pertemuan utara dan selatan yang dirancang kami lebih awal. Agak lama juga perancangan ini kerana kami berlainan negeri selain kesibukan masing-masing.

Hari yang dijanji pun tiba manakala tempat yang dipilih, KLIA2. Dia yang sampai terlebih dulu dan menunggu. Datang sendirian, jauh pula, penulis mengagumi keberanian dirinya.

Tentu saja menemui wanita hebat ini memberi inspirasi dan penguat semangat pada sesiapa saja. Sebaik melihat dirinya, rasa hendak melompat. Teruja. Kami berpelukan.

Walaupun sudah saling mengenali di alam maya sekitar tiga tahun, baru pertama kali bersua muka.

Namanya Natipah Abu. Ada orang yang apabila kita melihat wajahnya kita rasa lega dan selamat. Natipah ada elemen itu.

Orangnya masih muda, cantik, malah tidak nampak usianya 43 tahun. Sekiranya dikatakan usianya 30-an pun penulis percaya. Dia mudah mesra dan tersenyum membuatkan wajahnya berseri-seri.

Banyak kali dia tersasul membahasakan dirinya Kak Pah walaupun dia jauh lebih muda. Ini kerana pembawaan dirinya sudah biasa begitu, sifat keibuannya sangat menebal.

Nama Natipah sering bermain-main di mulut warga Malaysia di laman sosial, menjadi tumpuan membuatnya dikenali. Anak jati Kedah ini membuktikan, tidak perlu melakukan perkara yang skandal atau tidak masuk akal untuk diri dikenali tetapi sekadar sesuatu disaran agama iaitu menolong orang.

Jangan harap balasan

Mudahkah menolong orang? Tentulah tidak. Ia memerlukan kecekalan yang sangat tinggi. Mengenang perjalanan awalnya sehingga kini, Natipah mengaku suka duka yang dilaluinya menjadikan dia bertambah tabah walaupun dia tetap wanita biasa yang mudah menangis dan bersedih.

Kini setiap detik nafasnya, fikirannya hanya ada keinginan mahu membantu orang yang memerlukan dan kerja amal. Dia menjadi inspirasi begitu ramai orang terutama golongan muda dan mereka yang baru berjinak dengan kerja amal.

“Saya suka sekiranya ramai lagi yang mahu melakukan kerja amal. Saya selalu menyokong kumpulan muda yang baru hendak bermula. Paling penting jangan mempunyai sifat dengki. Apabila orang lain buat, selagi ia baik kita sokong. Jangan mengata atau saling memburukkan. Jangan juga meninggi diri atau mahu mengejar populariti. Perbetulkan niat. Kita buat kerja amal bukan untuk mendapat balasan tetapi untuk mencari reda Allah semata-mata. Rendahkan diri,” katanya.

Natipah menjadi wajah kerja amal yang bergerak tanpa batasan kepentingan diri mahupun kepentingan mana-mana parti politik. Dia tidak mahu sebarang perbezaan menjadi kekangan dalam usaha membantu orang.

Ibu kepada tiga anak ini mungkin tidak menyangka langkahnya boleh menjadi begitu jauh sehingga membawanya ke Syria bagi misi bantuan kemanusiaan kerana sebelum itu dunianya hanya untuk keluarga.

“Saya berkahwin sebaik tamat SPM pada usia 18 tahun. Keluarga yang mencarikan pasangan. Bagi ibu bapa, saya kena berkahwin awal kerana berpenyakit jantung berlubang sejak lahir. Mereka mahu lelaki yang betul-betul bertanggungjawab, menerima saya seadanya dan boleh menjaga saya. Maka jodoh saya ditakdirkan dengan suami tersayang Anizat Ahmad, 53. Sebab saya tidak bersekolah tinggi, saya mahu anak dapat peluang belajar ke peringkat tertinggi semampu mereka. Itu harapan saya,” katanya.

Lalu, bagaimana dengan segala kesibukan seorang isteri dan ibu, wanita berdarah Arab ini boleh terjebak di dunia berbeza?

“Semuanya bermula sekitar lima tahun lalu apabila saya menghabiskan masa di sebuah rumah anak yatim di Kuala Muda ketika menunggu anak bongsu ke sekolah. Rumah itu dipunyai oleh lelaki dan saya membantu kerja kebersihan di situ. Menyapu, membuang sampah dan sebagainya. Saya pun menulis di laman sosial mengenai keadaan rumah anak yatim itu, sekadar berkongsi cerita dengan kawan-kawan.

“Saya cerita mengenai keadaan rumah, anak di situ juga kekurangannya. Tiba-tiba seorang kawan memberi cadangan supaya kami membantu rumah itu. Rumah anak yatim itu mempunyai katil dan tilam yang sangat lusuh waktu itu jadi kami kumpul dana untuk ganti yang baru, juga pakaian baru,” katanya.

Natipah masih ingat betapa dia sangat penat kerana perlu membuat kerja yang agak berat, mengganti katil dan tilam baharu. Apatah lagi keadaannya yang berpenyakit jantung berlubang membuatkan dia mudah penat.

“Itu pemulanya. Semua yang saya lalui memang agak sukar dan memenatkan tetapi sukar menggambarkan keseronokan yang saya rasa waktu itu. Kepuasan yang tak boleh digambarkan dengan kata-kata,” katanya.

Menolong orang tanpa mengharapkan balasan membuatkan dia merasai kasih sayang mereka. Anak yatim di situ menganggapnya seperti ibu.

Bantu yang orang lain belum bantu

Langkah Natipah terus bergerak apabila kawannya di laman sosial sering berkongsi cerita mengenai mereka yang susah dan sakit di serata Malaysia.

“Itu cara saya mendapat maklumat untuk menolong orang tetapi setelah ada pengalaman, saya kini tidak membantu mereka yang viral di laman sosial kerana kes begitu tentu ramai sudah membantu. Jadi saya tumpukan membantu mereka yang belum dibantu lagi,” katanya.

Natipah sering membantu anak yang berpenyakit kritikal, anak istimewa serta yatim. Penulis berasakan hatinya begitu kental. Namun hari itu air matanya tumpah apabila berbicara mengenai mereka yang sudah pergi. Satu persatu gambar ditunjukkan.

“Berbelas-belas antaranya sudah tiada. Anak-anak syurga. Ini anak syurga yang saya mandikan jenazahnya,” ceritanya, sebak sambil menunjuk wajah anak yang sudah pergi mengadap Ilahi.

Selalunya pada yang kritikal, Natipah akan cuba membantu sedayanya, hal perubatan, kewangan dan juga menggembirakan mereka.

Di saat kritikal, Natipah menjadi jurucakap keluarga yang dibantunya berbincang dengan doktor.

Menurutnya, mereka bukan saja dalam kesedihan tetapi ada masanya tidak berdaya atau tidak tahu hendak bercakap dengan doktor.

“Hendak bertanya pun mereka tak berdaya jadi saya tolong, tolong melegakan kesedihan mereka. Macam-macam yang saya lalui. Kadang-kadang, tak tertahan sedihnya apabila melihat anak itu kesakitan dan kita tidak boleh melakukan apa-apa,” katanya.

Adakah selepas melalui episod kesedihan demi kesedihan Natipah menjadi serik? Nampaknya tidak. Dia masih meneruskan usahanya. Masih membantu anak yang sakit kritikal. Masih memeluk dan menceriakan mereka.

Dia menganggap setiap satu yang datang dalam hidupnya umpama anugerah Allah yang kemudiannya menjadi kenangan terindah walaupun hatinya sedih.

Begitu ramai yang menghubungi Natipah, mahukan bantuan atau ramai yang memintanya membantu orang itu dan orang ini, tidakkah dia rasa tertekan?

“Saya tanamkan dalam fikiran, kita tidak boleh membantu semua orang,” tegas Natipah.

Dia juga turut memberitahu setiap yang dibantunya perlu diselidik dan diperiksa terperinci bagi mengelakkan penipuan.

“Apabila ditipu, memang ia sangat mengecewakan. Bayangkan, yang menyumbang itu pun kadang-kadang bukan orang senang. Mereka yang berpendapatan rendah. Saya lihat mereka masukkan duit bernilai RM2 sebab hendak bersedekah tetapi yang berbohong mengambil kesempatan itu langsung tak rasa bersalah pun,” katanya.

Cabaran melakukan kerja amal bukan mudah. Natipah turut melalui pengalaman dicemuh daripada kalangan mereka yang dekat dengannya. Ada juga mempertikai keikhlasan hatinya. Ia memang menyedihkan dan pada peringkat awal dia memendamnya sendiri, tidak mahu bercerita pada suami kerana risau suaminya menyuruhnya berhenti.

Walaupun sibuk melakukan kerja amal, keluarga tidak sesekali diabai. Sokongan daripada mereka menjadi penguat semangatnya. Nur Ashikin, 23, Ahmad Fikri, 18 dan Ahmad Faris, 15, kebanggaan hatinya.

“Suami penyokong paling utama. Saya bukannya bekerja dan ada pendapatan sendiri jadi dia pastikan mengisi penuh minyak dan tol untuk memudahkan saya ke sana ke mari menjalankan kerja saya. Sekarang, saya mula membantu orang susah untuk membina rumah pula. Sudah enam rumah semuanya di Kelantan, Kedah dan Perak. Rumah ketujuh sedang dalam proses pembinaan,” katanya.

Lebih menghargai kehidupan

Apabila sudah menemui sesuatu yang bermakna dan memberi kegembiraan pada hatinya, Natipah mengakui, tidak lagi berminat perkara lain.

“Sekarang dunia saya hanya berkisar mengenai kerja amal dan kalau bersembang semuanya mesti hal berkaitan. Kawan-kawan pun semua yang berminat perkara sama. Kalau berbeza nanti mereka tidak berminat, dan sebaliknya. Sekarang, pandangan saya pada kehidupan sangat berbeza. Betapa nilainya, tidak mahu membazir dan apakah kegembiraan yang sebenar-benarnya memberi kegembiraan kepada kita.

“Seperti dengan anak-anak yatim, saya tidak suka membawa mereka mengecap kemewahan sementara sebaliknya membawa mereka berseronok dengan cara yang sederhana. Contohnya saya bawa mereka

melawat ladang ternakan, berkelah di sungai atau bermain di padang. Itu yang berbekas dan kekal di hati sebagai kenangan manis,” katanya.

Penulis pasti, Natipah tidak akan berhenti. Dia akan terus membantu anak-anak yang sakit, anak-anak istimewa, mengumpul dana kerusi roda, susu, ubat, baju sekolah, makanan, pelajaran, pembinaan rumah dan macam-macam lagi. Anak yatim, asnaf, ibu tunggal, keluarga susah, orang tua dan ramai lagi akan mendapat sentuhannya.

“Sebenarnya sejak saya bergiat aktif melakukan kerja sukarelawan, saya tidak sakit lagi. Dulu, saya selalu keluar masuk hospital kerana jantung berlubang, tak boleh letih, tak boleh aktif. Sekarang Allah berikan kesihatan dan kekuatan yang sungguh ajaib. Saya boleh aktif, boleh terus membantu mereka yang memerlukan,” katanya.

Bermakna Allah mahu dia terus berada di jalan itu. Nama Natipah Abu akan terus terpahat di hati mereka yang memerlukan sebagai insan teristimewa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2016 @ 11:55 AM