FAIFUZ memberi  penerangan kepentingan penjagaan harta anak OKU di Karnival  Keluarga Sihat.
FAIFUZ memberi penerangan kepentingan penjagaan harta anak OKU di Karnival Keluarga Sihat.
Aida Adilah Mat

ISU anak kurang upaya (OKU) dan yatim ditindas bukan perkara asing.

Mereka sering menjadi mangsa golongan berkuasa malah ada anggota keluarga turut mengambil kesempatan ke atas kelompok ini terutama selepas kehilangan tempat bergantung.

Namun sebenarnya ibu bapa seharusnya memainkan peranan ke mana hala tuju anak OKU ini sebelum ajal menjemput mereka dengan membuat persediaan awal khususnya membabitkan kebajikan anak.

Ibu bapa perlu mempunyai ilmu berhubung hak anak OKU ini iaitu bagaimana menguruskan harta yang ditinggalkan agar tidak disalah guna.

Pengasas Fairuz Agency, Mohd Fairuz Muhamad berkata, pihaknya berusaha keras tampil di media arus perdana untuk memberi kesedaran betapa pentingnya pengurusan harta anak OKU ini.

Perkara ini tidak boleh dipandang remeh kerana ia membabitkan masa depan golongan OKU dan yatim ini kerana kelalaian akan menyebabkan harta yang sepatutnya menjadi milik anak terbabit dicuri keluarga atau penjaga amanah hanya kerana terlalu percayakan mereka tanpa ada perjanjian hitam putih.

“Sayangilah anak OKU ini. Jaga dan peliharalah mereka dengan jalan dan cara yang betul agar tidak menjadi mangsa penindasan nanti.

“Saya mahu memberi kesedaran kepada semua. Bukan saja ibu bapa malah kepada pengurusan rumah OKU berhubung pengurusan harta anak OKU.

“Perkara ini penting untuk membuka mata banyak pihak cara menguruskan harta anak OKU. Memang mudah untuk kita serahkan kepada penjaga amanah yang boleh dipercayai, tetapi cuba fikirkan jika penjaga amanah itu meninggal dunia sebelum sempat membuat wasiat.

“Pastinya harta anak OKU itu dianggap kepunyaan penjaga amanah yang akhirnya akan menjadi milik anak atau adik-beradiknya mengikut perkiraan faraid, disebabkan ketiadaan wasiat. Jadi apa nasib anak OKU yang diamanahkan kepadanya?,” katanya.

Atas sebab itu, Fairuz Agency (FA) bergerak aktif untuk membantu secara sukarela memberi maklumat terperinci kepentingan harta penjagaan anak OKU ini.

“Jika tidak tahu boleh bertanya kepada pihak yang arif. Jangan biarkan kerana kita tidak tahu bila kita akan mati.

“Carilah mereka yang boleh menerangkan kepada anda berhubung perkara ini. Jumpa yang pakar untuk bantu selesaikan masalah itu semaksimum yang boleh,” katanya.

SEMUANYA KERANA PENGALAMAN

Fairuz berkata, keinginan untuk turun padang membantu anak OKU dan anak yatim ini tercetus tahun lalu apabila ibunya jatuh sakit di Turki ketika sedang bercuti dan meninggal dunia sebaik tiba di tanah air.

Pemergian arwah ibu secara mengejut itu memberi kesan cukup mendalam di hatinya apabila semua urusan perlu diuruskan sendiri termasuk kos membawa pulang ibunya yang sakit itu.

“Ibu saya sakit di Turki ketika sedang bercuti. Kos untuk membawa pulang ibu saya ketika itu memakan belanja hampir setengah juta. Mujur saya ada sedikit ilmu dalam urusan insurans ini jadi semua saya uruskan sendiri. Alhamdulillah, saya sempat melihat ibu sebelum dia menghembuskan nafas terakhirnya di tanah air.

“Atas sebab itu saya rasa penting membuat perancangan terutama untuk anak OKU dan anak yatim yang tidak mampu menguruskan sendiri hak mereka.

“Kami di FA seperti pusat sehenti untuk membantu anda mendapatkan maklumat. Apa yang penting adalah surat kuasa. Elak salah guna kuasa dengan cara yang betul.

“Cara pemilihan dan pemahaman yang betul untuk manfaat pada masa depan sangat penting untuk memastikan nasib golongan OKU dan anak yatim terbela,” katanya.

Terdahulu, FA menganjurkan Karnival Program Amal Anak-Anak OKU untuk membantu rumah anak yatim dan OKU melebarkan sayap perniagaan.

Objektif utama program amal itu adalah untuk mengetengahkan pusat anak OKU selain dapat memaklumkan masih banyak rumah OKU dan yatim yang memerlukan pertolongan.

“Selepas saya menjalankan program ini baru saya tahu masih ramai anak OKU dan yatim dan terpinggir. Saya nampak kesusahan mereka yang orang luar tidak tahu.

“Saya mahu mengajak lebih banyak syarikat korporat untuk membantu dan ingin saya menguar-uarkan kepada umum kewujudan rumah anak yatim dan OKU yang memerlukan bantuan dengan melalui video pendek yang akan disiarkan di YouTube,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Disember 2019 @ 5:00 AM