Amir Abd Hamid


DI sebalik dunia glamour sebagai penyanyi dan pelakon, mungkin ramai tidak tahu Datuk Awie, 52, aktif dalam kerja kebajikan dan aktiviti kemanusiaan.

Ditanya bila dia mula aktif dengan kerja kemanusiaan dan kebajikan, Awie yang juga penyanyi Wings berkata, dia sebenarnya sudah lebih 20 tahun terbabit dalam aktiviti sedemikian.

"Zaman awal saya mula-mula menyanyi, tak ingat apa. Nak menyanyi, nak 'rugged' dan 'rock & roll' saja. Saya mula aktif dalam aktiviti kemanusiaan sekitar 1990-an khususnya ketika bergelar penyanyi solo.

"Antara 1994 hingga 1995 dah mula terpanggil menyantuni anak-anak yatim, tetapi saya tidak hebahkan. Saya bela anak yatim, saya jaga. Di setiap bulan Islam yang boleh diraikan, saya raikan dengan anak yatim.

"Syukur Alhamdulillah apabila ternampak kepayahan, saya pun mula lakukan perlahan-lahan buat di merata tempat ketika ada undangan persembahan di Malaysia," katanya.

Sebagai contoh, katanya, jika ada persembahan di Terengganu maka dia akan pergi rumah anak yatim di sana dan jika di Klang pun akan ziarah rumah anak yatim.

"Buat sikit-sikit dan pada awalnya berseorangan. Sekarang saya buka peluang aktiviti kemanusiaan ini dengan lebih meluas, cari sesiapa yang memerlukan bantuan," katanya.

Apabila sudah ada kelab peminat Sayap-Sayap Wings, platform itu digunakan sebaiknya dan Awie mahu kumpulan peminat Wings itu bukan hanya semata-mata untuk datang tengok konsert dan tiada aktiviti yang elok untuk mereka.

Sehubungan itu, Awie berpesan supaya Sayap-Sayap Wings gunakan platform itu untuk menjalankan kebajikan, eratkan silaturahim, tingkatkan ekonomi dan jangan lupa buat membuat kerja kemanusiaan.

ANTARA program kebajikan bersama Sayap-Sayap Wings.
ANTARA program kebajikan bersama Sayap-Sayap Wings.

"Alhamdulillah bermula daripada itu, selama 12 tahun Sayap-Sayap Wings bersama kumpulan Wings dan saya, kami gerakkan bersama. Jadi, saya tidak berseorangan. Maknanya saya boleh kongsikan apa sahaja kebaikan ini bersama-sama dengan yang lain.

"Saya dapat bantuan dan semangat daripada kawan-kawan termasuk menolong mencari orang yang berkemampuan untuk sama-sama menyumbang kepada mereka yang sangat memerlukan," katanya.

Baru-baru ini yang diraikan selain anak yatim, adalah bekas wartawan termasuk yang sakit, susah dan dibuang kerja selain pegawai perhubungan awam (PRO) dan bekas PRO yang menaikkan nama artis Malaysia.

Selain itu, katanya, ketika Sayap-Sayap Wings mengadakan program di Melaka pada Ramadan lalu, pihaknya turut menyantuni penarik beca yang terkesan punca rezeki akibat sekatan pergerakan kerana Covid-19.

Ditanya apakah peristiwa yang mencetuskan minatnya dalam aktiviti kemanusiaan serta kerja kebajikan, katanya, dia beruntung sebab memiliki ibu bapanya yang tidak pernah lekang memberikan nasihat.

Ketika bapanya, Allahyarham Othman Md Arof dan ibunya Allahyarhamah Azizah Abdul Hamid masih hidup, mereka selalu memberikannya nasihat.

"Mereka kata engkau tidak selamanya menongkat langit sebab satu hari engkau di atas, satu hari nanti engkau boleh di bawah. Jadi apakah perkara yang boleh dibuat untuk masa depan lebih baik. Kita pun tahu, adalah belajar sikit-sikit apa benda yang Allah SWT minta adalah kebajikan.

"Kebajikan kita kepada mereka yang memerlukan seperti anak-anak yatim. Perkara ini adalah sangat penting untuk manusia seperti saya ini yang bergelumang dengan rock dan sebagainya.

"Jadi apa yang nak, saya seimbangkan antara baik dan buruk. Saya rasa kerja kebajikan ini sangat membantu seimbangkan aktiviti saya dan minat saya dalam industri seni," katanya.

Awie berkata, dia berasakan kerja kebajikan banyak membantu dalam kehidupan sehariannya kerana Allah SWT jelaskan tangan yang memberi adalah lebih baik daripada yang menerima.

"Kami ambil konsep itu. Kami bukan minta nama, itu tidak ada. Saya lebih suka menggunakan misi kemanusiaan atau kebajikan ini kami gabungkan semua sekali yang hadir yang menyumbang menjadi satu. Mana-mana orang datang nak ambil nama, saya rasa tak perlu," katanya.

Awie berkata, dia turut aktif dengan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Pertubuhan Pertiga Malaysia dalam misi kemanusiaan di dalam dan luar negara.

"Nak cerita banyak, nanti orang kata kami riak pula. Contohnya saya dengan Pertubuhan Pertiga Malaysia, pada waktu banjir teruk, kami hantar 13 lori barang makanan di seluruh pantai timur.

"Kemudian yang di luar negara, kami aktif di sebelah selatan Thailand iaitu di Yala dan Songkhla. Untuk di Songkhla kami menyumbang untuk masjid dan buat sumbangan kepada sekolah agama, di Yala kami ada jaga rumah tahfiz, sekolah pondok... Alhamdulillah. Doa mereka mungkin Allah SWT terima. Kami minta doa supaya sihat, dijauhkan daripada malapetaka dan perkara yang tidak elok," katanya.

Ditanya pandangannya melihat status selebriti untuk mempengaruhi dan menarik masyarakat turut sama melakukan kerja kemanusiaan dan kebajikan, katanya, populariti diakui membantu.

Beliau lebih gemar berfikiran positif dalam hal itu walaupun mungkin ada yang memandang serong kepada artis melakukan kerja amal.

"Apabila memikirkan sesuatu positif yang boleh membantu dan memudahkan kerja dengan cepat dan lancar, kita perlukan satu tarikan contohnya.

"Biar saya ke depan untuk mencari sesuatu demi kebaikan. Ambil orang ini punya, hantar ke sana. Jadi macam Robin Hood. Mungkin dengan populariti yang ada boleh mempercepatkan lagi proses dan memudahkan perjalanan untuk membantu mereka yang memerlukan," katanya.

Awie berkata, mungkin dengan sebab itu boleh membawa minat kepada yang lain untuk bersama-sama atau pun mereka boleh buat sendiri untuk terus membantu kepada memerlukan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Mei 2021 @ 6:30 AM