Yusmizal Dolah Aling

Cox’s Bazar : Hasrat menjadikan anaknya menghargai erti kehidupan dan meneruskan kesinambungan aktiviti kemasyarakatan menyebabkan seorang ibu mengambil pendekatan membawa permata hatinya mengikuti misi kemanusiaan di Bangladesh bersama-sama.

Mereka bergerak ke mana saja berdua dan ada ketikanya Natipah Abu, 44, dilihat memberi tunjuk ajar kepada anaknya, Ahmad Fikri Anizat, 19, mengenai selok-belok menjadi sukarelawan kemanusiaan sepertinya yang berkecimpung sebagai aktivis sosial sejak enam tahun lalu.

Dia yang bergerak secara solo membantu masyarakat di seluruh negara, mengambil peluang menyertai misi Untukmu Rohingya Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) di Cox’s Bazar untuk mengajar anaknya berbakti kepada agama dan negara.

Katanya, dia mahu anaknya menjadi manusia berguna dan tidak mahu dia terjerumus ke jalan salah, apatah lagi ketika usia masih muda.

Natipah yang lebih mesra dikenali dengan panggilan Kak Pah yang juga suri rumah, aktif membantu golongan kurang berkemampuan, anak yatim dan remaja bermasalah di Kedah dan utara tanah air secara bersendirian.

Menggunakan Facebook, dia mencari dana membantu orang susah sehingga dikenali pelbagai agensi kerajaan termasuk Lembaga Zakat Negeri Kedah serta Jabatan Kebajikan Masyarakat yang bekerjasama untuk menyelesaikan pelbagai masalah.

“Sebelum ini, tiga anak saya hanya melihat saya membantu pusat jagaan di Sungai Petani tanpa mengetahui apa sebenarnya yang saya lakukan setiap hari bersama anak dan penghuni di sana.

“Sehingga pada satu ketika, mereka berkecil hati kerana menganggap saya lebih menyayangi anak-anak di pusat jagaan berbanding mereka sendiri. Saya cuba jelaskan bagaimana perasaan di dalam hati, tetapi mungkin mereka belum faham.

“Alhamdulillah, lama-kelamaan, anak-anak mula mengerti, apa itu kerja amal. Saya pula mendapat sokongan penuh suami yang tidak jemu memberikan galakan dan akhirnya saya mengambil keputusan mengajak Fikri ke Bangladesh untuk melihat bagaimana misi pada skala lebih besar,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini, dia pernah membawa Fikri menyertai misi Muslim Care di Chad awal tahun ini dan sejak itu anak lelakinya yang baru tamat pengajian di sebuah pusat pengajian itu terbuka hati melakukan lebih banyak kebaikan di dalam hidup.

Sementara itu, Ahmad Fikri berkata, dia mula jatuh cinta dengan kerja kemanusiaan seperti yang dilakukan ibunya selama ini dan berterima kasih kerana ibunya bersungguh-sungguh inginkan dia turut terbabit di dalam misi kemasyarakatan.

Katanya, sejujurnya dia sebelum ini tidak menyukai aktiviti amal, namun lama- kelamaan perasaan itu bertukar, malah ketika ini dia mula merasakan kelebihan membantu golongan susah.

“Dulu saya rasa terpaksa ikut kerana hendak menjaga hati emak ke rumah anak yatim. Saya pergi ke sana dan habiskan masa dengan permainan video dan telefon bimbit, saya rasa bosan.

“Tetapi bila beberapa kali bersama anak yatim, saya dapat rasa mereka juga keluarga saya. Melihat ibu tidak jemu membantu, menjaga dan bersama mereka membuatkan saya sedar ini kemanisan dalam hidup. Saya akan terus bantu ibu sampai bila-bila, saya tidak malu sedikit pun,” katanya.

Ahmad Fikri berkata, seperti juga misi sebelum ini, ibunya banyak memberi bimbingan untuk memastikan dia melakukan sesuatu dengan betul demi kebaikan semua.

Walaupun dia berdepan ejekan rakan kerana menjadi ‘anak emak’, dia tidak kesah kerana pengalaman dan perasaannya sebagai sukarelawan mengatasi segala-galanya.

“Saya akan terus bersama emak untuk menyertai mana-mana misi anjuran Muslim Care. Saya sayang emak dan akan terus bantu dia untuk membantu agama Allah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2017 @ 10:53 AM
 Natipah bersama anaknya, Ahmad Fikri yang menyertai misi kemanusiaan Muslim Care di Bangladesh.
Natipah bersama anaknya, Ahmad Fikri yang menyertai misi kemanusiaan Muslim Care di Bangladesh.