NATIPAH menunjukkan kasih sayang tidak berbelah bagi kepada kanak-kanak orang kelainan upaya.
NATIPAH menunjukkan kasih sayang tidak berbelah bagi kepada kanak-kanak orang kelainan upaya.
TURUT menyertai misi sukarelawan di luar negara.
TURUT menyertai misi sukarelawan di luar negara.
MEMBERI sumbangan kepada pelajar sekolah bersempena Aidilfitri.
MEMBERI sumbangan kepada pelajar sekolah bersempena Aidilfitri.
Siti Zarinah Sahib

sitizarinahhmetro.com.my

Sepanjang Ramadan lalu, wanita bernama Natipah Abu, 45, tidak pernah duduk diam. Setiap hari ada saja kanak-kanak dan orang tua disantuninya. Daripada mengagihkan barangan kepada mereka yang memerlukan, membeli barangan keperluan dapur, busana Aidilfitri, mencari sumbangan untuk surau sehingga mengumpul pakaian baru dan terpakai. Ini antara kerja hakiki yang dilakukan Natipah sejak enam tahun lalu.

Biar penat, letih dan kurang tidur namun anak jati Kedah ini sudah boleh tersenyum puas apabila anak yatim yang tidak pernah berbaju baru sejak lima tahun lalu mengukir senyuman tatkala baju Melayu tersarung di tubuh. Begitu juga penerima barangan dapur berasa lebih bermakna apabila dapat menyediakan juadah istimewa sempena lebaran.

Sungguh hanya itu saja pengubat kegembiraan Natipah yang mesra disapa Kak Pah sehingga selepas 3 Syawal. Jika tidak pasti fikirannya runsing, jiwanya kosong sekiranya ada keluarga yang masih meminta atau tiada makanan yang akan dihidangkan untuk tetamu.

“Saya akui mudah bersimpati apabila melihat orang dalam kesusahan. Ini kerana setiap minit yang berlalu sangat menyeksakan bagi mereka. Jadi saya cuba sedaya upaya mencari bantuan secepat mungkin. Apabila dapat membantu saya rasakan satu kepuasan yang sukar diluahkan.

“Air mata kegembiraan mereka itulah yang saya anggap sebagai penawar bagi segala kata nista yang dilemparkan kepada saya dalam usaha membantu golongan kurang berkemampuan. Memang benar kita tidak boleh memaksa semua orang setuju dengan apa yang kita lakukan. Jadi buatlah yang terbaik membantu tanpa mencalarkan perasaan orang sekeliling,” katanya.

Menjalankan kerja amal secara berseorangan jelas Natipah, dia lebih selesa bergerak secara bersendirian tanpa menyertai aktiviti persatuan atau organisasi. Untuk itu dia bebas memilih hendak bekerjasama dengan siapa saja tanpa sekatan. Namun begitu semua kerja amal dilakukan secara berjemaah dengan bantuan rakan Facebook.

“Percaya atau tidak kerja amal yang saya lakukan hanya mendapat sumbangan kewangan daripada rakan dan pengikut Facebook. Biasanya saya melancarkan tabung untuk kes yang ingin dibantu saja menggunakan akaun peribadi. Saya sedar cara itu mendedahkan kepada berbagai fitnah dan spekulasi tapi reda dan berpegang prinsip Allah ada.

“Pengalaman saya apabila meletakkan akaun orang yang memerlukan, apabila sumbangan sudah banyak kebanyakannya jadi gelap mata. Menyalahgunakan wang sumbangan untuk bermewah-mewah termasuk membeli kereta secara tunai. Menitik air mata saya apabila tahu perkara itu. Saya sedar penderma bukan jutawan. Ada yang menunggang motosikal dan ramai yang masih berhutang kereta. Sebaliknya ada penerima dengan senang hati membeli kereta tanpa hutang, ia tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut dalam setiap kerja amal dilakukan, Natipah tidak pernah mengharapkan penghargaan atau balasan. Malah ada yang dibantu langsung tidak pernah bertemu. Sama seperti rakan Facebook yang menjadi penyumbang tetap, hanya berhubung menerusi alam maya.

“Tetapi tiada rasa sakit hati atau salah anggap kerana semua dilakukan kerana Allah Taala. Saya puas selepas membantu mereka yang memerlukan. Sangat gembira dan tiada perkataan yang dapat diluahkannya,” katanya.

Bayangkan setiap kali Ramadan Natipah berupaya menggembirakan mereka terutama anak yatim, golongan kurang berkemampuan dan daif. Jika tiada yang membantu sudah tentu Aidilfitri menjadi tidak bermakna.

TURUT JAYAKAN MISI DI LUAR NEGARA

Tidak pernah menyangka kerja amal yang dilakukan membolehkannya ke luar negara, ujar Natipah, ia bermula apabila sering bersama Muslim Care Malaysia bagi menyediakan barang sumbangan. Yakin dengan pihak pengurusan membuatkan Natipah menyertai misi pertama iaitu Musim Sejuk di Syria dan Turki, Misi Kemanusiaan Chad di Afrika, Misi Kemanusiaan Rohingya, Bangladesh dan Misi Kemanusiaan Sri Lanka. Natipah juga menyertai misi dakwah nusantara Indonesia atas jemputan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Dia mengakui semua misi meninggalkan kenangan dan pengajaran berharga kerana ia berjalan di negara atau tempat bergolak. Kemiskinan dan kesengsaraan mereka dalam pelbagai rupa, mangsa perang Syria dengan kisah sedih kehilangan harta benda dan ibu ayah akibat peperangan. Penduduk Chad pula dengan kisah tragis, kemiskinan di tengah padang pasir dan 50 tahun ketinggalan di belakang Malaysia.

“Paling terkesan melihat Sri Lanka dengan kisah kedaifan, kemunduran dan tragisnya kisah Rohingya apabila nyawa manusia diibaratkan kupang tembaga. Hidup dalam serba kekurangan dan menumpang di tanah air orang, tertinggal jauh daripada tamadun kemodenan manusia,” katanya sayu.

Mempunyai tiga anak berusia 17 hingga 25 tahun, Natipah yang dilahirkan di Bukit Besar Kedah menceburi kerja amal selepas mendirikan rumah tangga dengan pilihan hatinya Anizat Ahmad, 55. Menjadi suri rumah dengan anak yang masih kecil kehidupan Natipah terisi dengan aktiviti bersama mereka.

“Namun selepas anak dewasa, terasa sunyi pula. Jadi saya berkunjung ke rumah anak yatim terdekat iaitu Pertubuhan Anak Yatim Kuala Muda, Kampung Che Bema, Sungai Layar Hujung, di Sungai Petani, Kedah dengan niat membantu apa yang termampu.

“Bermula kerja menyapu dan mengutip pakaian anak yatim untuk dicuci, barangkali sudah janji Allah, hati terpaut pada anak di sana yang kosong jiwanya dan memerlukan kasih sayang. Sejak itulah saya berkasih sayang dengan anak yatim, sampai ke hari ini sudah lebih enam saya bersama mereka. Saya juga dilantik sebagai ahli jawatan kuasa pentadbiran, ketua biro kebajikan dan kesihatan,” katanya.

Tidak pernah mengeluh dengan semua kesukaran dilalui, bagi Natipah apa yang dilakukan adalah kerana Allah Taala. Berbekalkan semangat dan juga doa kini Natipah sudah mempunyai rumah jariah yang dijadikan pusat mengaji al-Quran secara percuma kepada kanak-kanak dan remaja. Kos rumah ini turut dibiayai dengan sumbangan rakan Facebook.

“Saya pernah berangan-angan memiliki rumah anak yatim sendiri agar dapat menempatkan mereka selain memberikan pelajaran kepada anak syurga ini. Saya berharap impian ini akan terlaksana suatu hari nanti,” katanya mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Jun 2018 @ 1:18 PM