SEREMBAN: Empat lagi suspek ditahan hari ini berhubung kematian seorang juruteknik kilang di kawasan perindustrian Senawang dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Muhamad Zaki Harun berkata keempat-empat suspek warga Nepal berusia 20 dan 34 tahun itu ditahan beberapa jam selepas suspek pertama ditahan.

“Mereka adalah rakan serumah suspek pertama berumur 23 tahun yang ditahan di sebuah rumah di Taman Seri Pagi, Senawang pada jam 6.15 pagi semalam.

“Kita merampas beberapa helai pakaian daripada keempat-empat suspek berkenaan untuk membuat perbandingan DNA.

“Kita akan memohon reman...untuk mereka membantu siasatan,” katanya di sini.

Dalam kejadian semalam, juruteknik R. Jayaram, 56, dari Sungai Gadut dijumpai mati dengan kesan luka di kepala dipercayai dipukul dengan objek tumpul.

Mangsa dijumpai terbaring berlumuran darah di belakang sebuah kilang di kawasan tersebut oleh seorang pengawal keselamatan kilang itu yang sedang meronda pada kira-kira 3.10 pagi. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Disember 2014 @ 7:27 PM