PATI yang ditahan dan didapati membawa senjata berbahaya. FOTO Ihsan PPM
PATI yang ditahan dan didapati membawa senjata berbahaya. FOTO Ihsan PPM
Omar Ahmad.


Mersing: Empat pendatang asing tanpa izin (Pati) yang memasuki negara ini melalui jalan laut, semalam, didapati membawa senapang angin dan senjata tajam lain.

Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua menemukan senjata berbahaya itu selepas keempat-empat Pati terbabit ditahan di tepi jalan berdekatan sungai di Kampung Bakar Batu, di sini, awal pagi semalam.

Komander PPM Wilayah Dua Johor Asisten Komisioner Muhd Zailani Abdullah berkata, kesemua lelaki berusia 35 hingga 50 tahun itu ditahan ketika menaiki kereta Perodua Bezza dalam keadaan mencurigakan pada 12.15 tengah malam.

Beliau berkata, sejurus ditahan, kesemua mereka gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sah untuk memasuki negara ini.

"Hasil pemeriksaan terhadap bagasi mereka menemukan selaras senapang angin yang dileraikan kepada lima bahagian berserta tiga bungkus peluru timah buatan sendiri dan tiga sabit.

"Seorang daripada suspek yang berusia 50 tahun mendakwa senapang angin itu digunakan untuk tujuan memburu," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pemandu kenderaan warga tempatan berusia 43 tahun yang disyaki sebagai orang tengah kepada keempat-empat Pati itu juga ditahan.

"Tahanan dan rampasan diserah kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran, Akta Senjata Api 1960, Akta Bahan Letupan dan Kakisan dan Senjata Berbahaya dan Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2022 @ 8:56 AM