Ketua Polis Daerah Rembau Deputi Superintendan Ibrahim Sharif menunjukkan wang tunai yang ditemui daripada seorang suspek. - Foto RAJA NORAINA RAJA RAHIM
Ketua Polis Daerah Rembau Deputi Superintendan Ibrahim Sharif menunjukkan wang tunai yang ditemui daripada seorang suspek. - Foto RAJA NORAINA RAJA RAHIM
Raja Noraina Raja Rahim


Rembau: Empat lelaki termasuk dua beradik ditahan kerana disyaki menyamun seorang lelaki yang baru memenangi wang perjudian berjumlah RM60,000.

Ketua Polis Daerah Rembau Deputi Superintendan Ibrahim Sharif berkata, keempat-empat suspek berusia antara 20 hingga 29 tahun itu ditahan berasingan sejak 23 Mac hingga 5 April lalu, susulan laporan polis dibuat mangsa.

Menurutnya, dalam kejadian jam 12.30 tengah hari, 23 Mac lalu, mangsa berusia 26 tahun bermain judi di sebuah pusat perjudian di Senawang, Seremban, dan memenangi RM60,000 sebelum diperdaya dua beradik yang bekerja sebagai pengawal keselamatan pusat perjudian berkenaan supaya mengikut mereka bermain judi di Port Dickson.

"Dua suspek itu bersama dua rakannya membawa mangsa dengan kereta ke Port Dickson namun mangsa dibawa ke Kampung Kundur Ulu, Pedas, sebelum disamun mereka," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau di sini, hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan polis menemui RM10,000 daripada seorang suspek dan mereka ditahan reman mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2016 @ 6:27 PM