MOHAMAD Hafizzudin Mohd Fedeli berkongsi kegembiraan bersama ibu bapanya, Hamisah Kawi (kanan), 51, dan Mohd Fedeli Salim, 51, selepas menerima Anugerah Khas Ibnu Ummi Maktub pada Majlis Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Ke-32 di Kampus Gombak. FOTO Bernama
MOHAMAD Hafizzudin Mohd Fedeli berkongsi kegembiraan bersama ibu bapanya, Hamisah Kawi (kanan), 51, dan Mohd Fedeli Salim, 51, selepas menerima Anugerah Khas Ibnu Ummi Maktub pada Majlis Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Ke-32 di Kampus Gombak. FOTO Bernama


“JANGAN anggap kekurangan pada diri kita sebagai halangan untuk buat yang terbaik.

“Ini kerana akal yang Allah SWT kurniakan masih sempurna. Jadi apa alasan kita untuk tidak melakukan yang terbaik.”

Itu menjadi pegangan penerima Anugerah Khas Ibnu Ummi Maktum pada Majlis Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) ke-32, Mohamad Hafizzudin Mohd Fedeli, 24, yang kehilangan 90 peratus penglihatannya akibat tindak balas alahan ubat.

Anugerah tersebut dianugerahkan kepada penuntut kurang upaya (OKU) yang berjaya menunjukkan pencapaian akademik dan kokurikulum cemerlang pada sidang pertama majlis konvokesyen itu yang disempurnakan Canselor UIAM Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, di Gombak.

Mengiringi keberangkatan baginda ke majlis itu ialah Sultanah Pahang Sultanah Kalsom dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.

Mohamad Hafizzudin yang juga graduan Kuliah Sains mula hilang penglihatan sisinya sejak berusia 16 tahun, berkata keupayaan penglihatannya yang terhad tidak pernah mengganggu pembelajarannya apatah lagi menjadikannya alasan untuk berputus asa.

“Sedangkan mereka yang buta boleh meneruskan pengajian dengan menggunakan teknik braille, inikan pula saya yang masih boleh melihat dan membaca,” katanya ketika ditemui selepas berakhirnya sidang pertama majlis tersebut di sini, hari ini.

Mohamad Hafizzudin yang kini melanjutkan pengajian peringkat Sarjana Sains di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang ‘Plant Biotechnology’ berkata pengangkutan menjadi masalah utamanya kerana tidak boleh mendapatkan lesen kereta atau motosikal.

Anak kedua daripada tujuh beradik itu adalah seorang daripada sembilan graduan yang terpilih pada tahun ini untuk menerima anugerah utama universiti termasuk Anugerah Pelajaran Diraja, Anugerah Keseluruhan Pelajar Terbaik, Anugerah Presiden, Anugerah Rektor dan Anugerah Budi.

Pemenang Anugerah Pelajaran Diraja Nur Firda Ayu Jamal, 24, berkata mengulang kaji pelajaran di saat-saat akhir bukanlah teknik atau amalan yang bagus buat penuntut untuk menghadapi peperiksaan.

“Jangan biasakan belajar di saat akhir. Perlu fokus belajar daripada awal semester supaya bila tiba musim peperiksaan, kita tidak perlu tidur lambat kerana kita telah bersedia. Bukan senang nak mencapai sesuatu yang besar.

“Saya banyak habiskan masa saya di kampus dengan mengulang kaji pelajaran dan berjumpa dengan pensyarah.

“Saya tidak pernah takut atau malu untuk berjumpa dengan pensyarah jika saya tidak faham sebab saya percaya dan yakin, mereka juga mahukan yang terbaik untuk saya,” kata anak keempat daripada lima beradik itu yang berasal dari Kuala Lumpur.

Majlis konvokesyen yang berlangsung tiga hari, bermula hari ini, akan menyaksikan 4,992 graduan menerima ijazah manakala 980 daripada jumlah itu akan menerima ijazah doktor falsafah (PhD) dan sarjana.

Dalam majlis yang sama, UIAM turut menganugerahkan gelaran Profesor Emeritus kepada dua bekas timbalan rektor universiti tersebut itu, bekas Timbalan Rektor (Akademik dan Perancangan) Prof Datuk Dr Md Tahir Md Azhar dan bekas Timbalan Rektor (Hal Ehwal Akademik) Prof Datuk Dr Jamil Osman.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2016 @ 11:18 PM