Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, Datuk Amir Md Noor, berbual dengan Shafiq Ikhsham dan kanan, Shafiq menerima ciuman daripada ibunya Jamilah Suardi, 46. -  Foto FATHIL ASRI
Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, Datuk Amir Md Noor, berbual dengan Shafiq Ikhsham dan kanan, Shafiq menerima ciuman daripada ibunya Jamilah Suardi, 46. - Foto FATHIL ASRI
BERNAMA

Kota Bharu: “Kemiskinan bukan halangan untuk kita berjaya tetapi rangsangan untuk kita lebih berusaha," kata Shafiq Ikhsham Adzly, 22, Graduan Terbaik Keseluruhan pada Majlis Konvokesyen Politeknik Kota Bharu (PKB) hari ini.

Graduan jurusan Kejuruteraan Awam itu berkata pengorbanannya yang terpaksa bekerja sambilan serta mengetepikan keinginan pulang ke kampung di Sabah setiap cuti Hari Raya kerana kekangan kewangan akhirnya membuahkan hasil.

Katanya, dia puas serta terharu kerana akhirnya dapat menamatkan pengajian dengan cemerlang walaupun berdepan pelbagai rintangan.

"Selepas balik kerja di restoran makanan segera (pada 12 tengah malam), saya tidur sekejap sebelum bangun pada 3 pagi mengulang kaji pelajaran.

"Kejayaan saya ini juga adalah hadiah berharga buat ayah dan ibu yang banyak berkorban selama ini," katanya.

Shafiq Ikhsham yang ditemani ibu pada majlis bersejarah buat keluarganya itu berkata, sebagai anak sulung daripada sembilan beradik, dia membuat keputusan berkerja sambilan pada waktu malam bagi mengurangkan beban bapanya, seorang buruh.

"Siang saya fokus pada kuliah dan kokurikulum. Sepanjang tiga tahun belajar di Politeknik Kota Bharu, hanya dua kali saya balik kampung di Lahad Datu, Sabah, kerana kes kecemasan dan tidak pernah pulang beraya bersama keluarga bagi menjimatkan wang," katanya.

Menurutnya walaupun ada kemudahan pinjaman pelajaran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) namun ia hanya cukup untuk membayar yuran pengajian dan membeli sedikit keperluan.

Shafiq Ikhsham turut menerima anugerah projek terbaik 2016 melalui ciptaan penutup longkang dan anugerah kecemerlangan akademik dengan Purata Nilai Gred Kumulatif 3.6 selain anugerah kecemerlangan kokurikulum.

Selain itu, dia turut dipilih sebagai penerima Anugerah Gelaran Al Fateh dan Pengarah PKB kerana aktif dalam pelbagai aktiviti termasuk sebagai Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Politeknik Kebangsaan dan Yang Dipertua MPP PKB.

Shafiq Ikhsham berhasrat menyambung pelajaran dalam jurusan sama di peringkat ijazah sarjana muda di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2017 @ 9:52 PM