Faliq Lajim


“PEMBELAJARAN adalah satu proses kehidupan yang panjang. Jadi belajar daripada orang sekeliling, sesuaikan diri dengan keadaan baharu, sejarah dan juga kesilapan,” titah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Baginda yang juga Ketua Perlembagaan (Canselor) UIAM bertitah demikian di majlis Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Ke-35 di Kuala Lumpur hari ini.

Tunku Azizah bertitah, graduan perlu menjadi duta kepada perpaduan, Islamisasi, pengantarabangsaan serta kecemerlangan komprehensif dalam mencari keredaan Allah SWT.

“Melalui konvokesyen ini, anda (graduan) kini berdiri di pintu kehidupan yang baharu. Perjalanan baharu.

“Saya doakan anda istiqamah (berdiri teguh dan konsisten dengan integriti) dalam membuat pilihan yang sukar serta mempunyai keberanian untuk mengajak orang lain berdiri bersama anda.

“Gunakan ilmu sepanjang anda berada di universiti untuk menjadi dunia ini lebih baik. Ummah memerlukan kebijaksanaan, kepercayaan teguh, keberanian dan kesungguhan,” titahnya.

RAJA Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
RAJA Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

Baginda turut mengisytiharkan UIAM sekali lagi menjadi peneraju ummah bagi masa depan yang baik dengan visi baharu iaitu ‘Visi 2077’.

Hadir sama Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, Presiden UIAM Datuk Dr Mohd Daud Bakar dan Rektor UIAM Prof Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak.

Di majlis itu, baginda turut berkenaan menyampaikan beberapa anugerah utama antaranya Anugerah Merit Ibn Khaldun, Anugerah Pelajaran Diraja, Anugerah Presiden, Anugerah Pelajar Terbaik Keseluruhan, Anugerah BUDI, Anugerah Rektor, Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum (Amru Ibn Al-Jamuh) dan Anugerah Pencapaian Ibn Ummi Maktum (Akademik).

Mendahului senarai penerima adalah Majlis Kanser Nasional (MAKNA) yang diwakil pengurus besarnya, Farahida Mohd Farid bagi Anugerah Merit Ibn Khaldun 2019.

Tunku Azizah turut berkenaan menyampaikan skrol kepada 295 graduan bagi peringkat Sarjana dan 259 graduan untuk Doktor Falsafah dalam bidang pengajian masing-masing.

Tan Sri Syed Hamid Albar yang juga bekas Menteri Luar turut menerima Sarjana Sains Kemanusiaan (Sains Politik) di majlis itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 November 2019 @ 2:03 PM