PENERIMA Anugerah Pelajar Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dengan Kepujian, Wong Chee Fei (kiri) Mohd Haniff dan Azlan bergambar kenangan pada Majlis Konvokesyen ke-14 UTHM.
PENERIMA Anugerah Pelajar Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dengan Kepujian, Wong Chee Fei (kiri) Mohd Haniff dan Azlan bergambar kenangan pada Majlis Konvokesyen ke-14 UTHM.

Batu Pahat: Tercabar setiap kali kedua ibu bapanya sering memuji dan membandingkan dirinya dengan sepupu, membuatkannya tekad untuk belajar bersungguh-sungguh bagi membuktikan dirinya adalah yang terbaik.

Kesungguhan itu akhirnya membuahkan hasil apabila Mohd Haniff Mohamed, 24, diumumkan sebagai penerima Anugerah Sultan Ibrahim ketika Majlis Konvokesyen ke-14 Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini, semalam.

Mohd Haniff yang juga graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam memperolehi keputusan cemerlang dengan nilai purata keseluruhan 3.95.

Menurutnya yang juga anak kedua daripada empat beradik, sejak kecil ibu bapanya selalu membandingkan dirinya dengan sepupu membuatkan dia belajar bersungguh-sungguh kerana mahu membuktikan dia juga mampu memperoleh keputusan cemerlang.

"Saya sering membuat latihan selepas kuliah selain mempraktikkan teknik pembelajaran yang bijak bagi membolehkan diri sentiasa fokus dan tidak jemu dalam pelajaran dan ketika ulang kaji.

"Setiap kali selesai mengulang kaji, saya akan merehatkan diri dengan bermain permainan video untuk memastikan tidak terlalu tertekan," katanya.

Menurut Mohd Haniff, dia sangat gembira dengan kejayaan itu dan bersyukur kerana penat lelahnya berakhir dengan kejayaan cemerlang selain membanggakan keluarganya.

Sementara itu, penerima Anugerah Diraja Majlis Konvokesyen UTHM ke-14, Azlan Ahmad, 25, berkata, dia bukan hanya memfokuskan untuk cemerlang dalam aspek akademik malah turut komited dalam kokurikulum.

Azlan yang berasal dari Sungai Petani, Kedah itu, berkata, sepanjang menuntut di UTHM dia sentiasa aktif dalam pelbagai aktiviti persatuan dan kelab.

"Syukur saya berjaya menamatkan pembelajaran dengan cemerlang dan terpilih menerima anugerah yang sungguh istimewa ini.

"Kejayaan ini bukan hanya untuk diri sendiri, malah ia juga khusus untuk keluarga yang menjadi tulang belakang dalam kejayaan saya ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Oktober 2014 @ 3:26 AM