ROZANA meraikan kejayaan bersama kedua-dua ibu bapa di UiTM Arau, semalam.
ROZANA meraikan kejayaan bersama kedua-dua ibu bapa di UiTM Arau, semalam.
Aizat Sharif


Arau: “Kesusahan ibu dan bapa mencari wang bagi memastikan saya ke universiti menjadi motivasi kepada saya untuk tidak sesekali mengecewakan mereka dengan sambil lewa dalam pelajaran,” kata graduan Sarjana Muda Sains (Kepujian) Kimia Gunaan, Rozana Hamdan, 24, yang menerima Anugerah Graduan Terbaik (Sarjana Muda) pada Istiadat Konvokesyen ke-85 Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perlis, di sini, semalam.

Anak kelima daripada enam adik-beradik dan berasal dari Pulau Langkawi, Kedah itu berkata, dia langsung tidak menduga akan menerima anugerah itu dan mendedikasikannya untuk keluarganya.

“Bukan mudah untuk ber jaya, apatah lagi saya bukan pelajar cepat menangkap apa yang diajarkan pensyarah.

“Jadi, apa yang saya buat adalah kerap bertanya kepada rakan mengenai setiap subjek diajarkan pensyarah dan dari situ, saya membuat latihan bagi mengukuhkan lagi ingatan.

“Jurusan yang saya ambil ini bukanlah suatu bidang yang senang dan hanya boleh dihafal semata-mata tetapi ia memerlukan banyak latihan bagi memastikan setiap apa yang diajar itu berkesan,” katanya ditemui bersama ibu bapanya, Hamdan Osman, 58, dan Rokiah Ibrahim, 68, selepas istiadat konvokesyen itu.

Menurut Rozana, dia membuat nota dan belajar secara berkumpulan dengan rakan sekuliah supaya bertukar maklumat atau penyelesaian terhadap sesuatu subjek.

“Kami tiada waktu tetap dalam belajar bersama kerana kelas pembelajaran kami berbeza tetapi apa yang penting adalah waktu malam itu diguna sebaiknya untuk mengulang kaji pelajaran.

“Saya anggap apa yang saya capai ini sekurang-kurangnya memberikan kegembiraan kepada keluarga yang datang menyaksikan kejayaan saya pada hari ini,” katanya.

Rozana yang bercita-cita menjadi ahli kimia sudah mendapat tawaran bekerja di syarikat pemprosesan simen di Langkawi dan akan memulakan tugas pada 1 Disember nanti.

Majlis penyampaian ijazah dan diploma disempurnakan Pro-Canselor UiTM, Tan Sri Dr Arshad Ayub dan dihadiri Rektor UiTM Perlis, Zailuddin Ariffin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 November 2016 @ 8:41 AM