DARI kiri, Nabilatul Huda, Munazzahah dan Nur Amelia selepas menerima anugerah semalam.
DARI kiri, Nabilatul Huda, Munazzahah dan Nur Amelia selepas menerima anugerah semalam.

Kuala Kangsar: Belajar bersama dan bersaing secara sihat menjadi resipi kejayaan tiga rakan serumah yang merangkul tiga anugerah kecemerlangan termasuk anugerah tertinggi sempena Konvokesyen Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) ke-8.

Munazzahah Zulkifli, 24, menerima Anugerah Diraja manakala rakan serumahnya, Nur Amelia Zaheed, 21 merangkul Anugerah Rektor iaitu anugerah ketiga tertinggi dan Nabilatul Huda Mohd Najmuddin, 21, meraih Anugerah Terbaik Fakulti Pengajian Islam.

Ketiga-tiga mereka menerima anugerah yang disampaikan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Dewan Fakulti Pengajian Islam, di sini, semalam.

Pada konvokesyen berkenaan, 478 graduan menerima diploma masing-masing.

Munazzahah yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.95 berkata, kejayaannya itu didorong semangat mahu mencapai kejayaan terbaik selepas lapan kakak dan abangnya turut menjejakkan kaki ke menara gading.

“Saya menjadikan adik-beradik sebagai sumber inspirasi meraih kecemerlangan dan bersyukur kepada kedua ibu bapa yang banyak berkorban termasuk melayan kerenah saya.

“Setiap kali menjalani peperiksaan, kedua ibu bapa saya tidak pernah lupa menunaikan solat hajat demi memastikan saya menjawab soalan dengan tenang,” kata anak bongsu daripada sembilan beradik itu.

Katanya, dia memasang impian menyambung pengajian ke peringkat ijazah.

Nur Amelia yang meraih CGPA 3.79 pula berkata, pembabitannya dalam debat Piala Diraja Menteri Besar ketika dalam pengajian membuatkan dia sedikit ketinggalan dalam pelajaran.

“Namun, Alhamdulillah berkat dorongan ahli keluarga dan rakan serumah, saya memberi sepenuh komitmen dalam pelajaran untuk meraih anugerah kecemerlangan ini.

“Saya berharap anugerah ini menjadi pembakar semangat meneruskan impian mencapai cita-cita menjadi peguam syariah satu hari nanti,” katanya.

Nabilatul Huda pula berkata, meskipun bidang pengajiannya berbeza, namun dia dan dua rakan serumah lain sering mengulang kaji pelajaran bersama-sama.

“Bagus juga mempunyai rakan serumah bersaing meraih CGPA tertinggi, jadi secara tidak langsung menaikkan semangat saya untuk bersungguh-sungguh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 November 2015 @ 5:08 AM