Sebelum ini ramai bercakap mengenai hubungan cinta antara dua bintang baru, Syafiq Kyle dan Uqasha Senrose, tapi mereka masih terus mendiamkan diri tanpa memberi pengesahan mengenainya.

Sesekali itu Cik Pang ada juga terbaca di portal hiburan yang Syafiq menafikan dia mencintai Uqasha. Katanya, dia dan Uqasha tidak lebih daripada rakan biasa.

Begitupun, gosip mengenai percintaan mereka ini sudah lama Cik Pang dengar, sampaikan kalau tidak salah pernah Cik Pang terbaca dakwaan mengatakan Syafiq sanggup pindah rumah semata-mata mahu sentiasa dekat dengan Uqasha.

Terbaru, ada yang menyampaikan berita kepada Cik Pang, sebenarnya Syafiq terpaksa merahsiakan hubungan cintanya dengan Uqasha kerana tidak mahu menyakiti hati ibunya.

Menurut sumber yang menyampaikan cerita ini, ibu Syafiq tidak gemar apabila cerita percintaan antara anaknya dan Uqasha digembar-gemburkan media.

Kata sumber itu, bukan ibunya tidak sukakan Uqasha, tetapi berasakan Syafiq masih terlalu muda untuk menjalin hubungan cinta dengan mana-mana wanita. Apatah lagi Syafiq baru hendak membina nama dalam dunia lakonan.

Mendengarkan penjelasan sumber itu, bagi Cik Pang, tentu ada betulnya ibu Syafiq membuat tindakan begitu. Ibu mana tidak mahu melihat anaknya berjaya.

Mungkin juga ibu Syafiq bimbang jika terlalu sibuk mengulit cinta nanti, Syafiq akan hanyut dan kerjaya seninya terjejas. Apa-apa pun, sebagai artis muda, seharusnya Syafiq membina kerjaya terlebih dulu. Nanti bila dah berjaya senang nak bagi anak orang makan. Betul tak?

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Disember 2014 @ 5:03 AM