PESERTA melakukan senaman regangan sebelum memulakan larian.
PESERTA melakukan senaman regangan sebelum memulakan larian.
Yusliza Yakimir Abd Talib

Taman Tasik Titiwangsa baru-baru ini diceriakan dengan warna merah jambu bagi acara Pink Saves Amazing Race 2016 ber–sempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara yang disambut setiap Oktober di seluruh dunia.

Lebih 600 peserta lelaki dan wanita mengambil bahagian dalam acara larian amal sejauh lima kilometer (km) anjuran Hospital Pakar KPJ Sentosa KL.

Mereka termasuk bekas pesakit kanser dari Majlis Kanser Negara (MAKNA), kakitangan hospital pakar berkenaan, peserta program ‘Biggest Loser’ di bawah Persatuan Suri dan Anggota Wanita Bernama (Benita) dan orang awam.

Pengarah Eksekutif Hospital Pakar KPJ Sentosa Mohd Taufik Ismail berkata, program kali kedua itu diadakan untuk merai dan meningkat–kan kesedaran terhadap kesihatan wanita melalui pelbagai pemeriksaan pencegahan serta kempen.

“Tahun ini kita mahu memberi semula kepada orang awam. Justeru, kita adakan acara ini bagi memupuk kesedaran dan menggalakkan masyarakat menjalani pemeriksaan awal seperti mamogram bagi mencegah kanser payudara.

“Pemeriksaan melalui imbasan ini penting kerana pengesanan awal boleh menyelamatkan nyawa. Kami terharu dengan sokongan orang ramai ke arah tujuan yang baik,” katanya.

Hadiah wang tunai disediakan untuk pemenang bagi kategori lelaki dan wanita. Aktiviti pendidikan yang menyeronokkan itu turut dimeriahkan dengan kehadiran pelbagai trak makanan yang menyajikan aneka makanan serta pemberian minuman kesihatan percuma.

Majlis itu turut me–nyaksikan penyampaian cek kepada MAKNA yang sebahagiannya disumbangkan daripada yuran penyertaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2016 @ 5:18 AM