PESERTA sabar menanti saat pelepasan walaupun terpaksa berhujan.
PESERTA sabar menanti saat pelepasan walaupun terpaksa berhujan.

Berbanding bulan lain, Oktober paling meriah dan ceria. Saban minggu, ada saja ‘aktiviti merah jambu’ di seluruh negara sebagai tanda sokongan kepada bulan kesedaran kanser payudara.

Walaupun merah jambu dianggap warna feminin, ia tidak sedikit pun menghalang penyertaan lelaki dalam pelbagai acara untuk menyemarakkan kesedaran masyarakat terhadap kanser utama yang menyerang wanita bukan di Malaysia saja bahkan di seluruh dunia.

Justeru, Mohd Apandi Omar Paki, 47, antara lelaki yang tidak sedikit pun berasa canggung menyarungkan kemeja-T merah jambu terang yang ‘manis’ untuk menyokong perjuangan isterinya melawan kanser.

Malah dua anak bujangnya juga tampak selesa berbaju merah jambu menjayakan semua aktiviti yang disusun dalam Samo Walkathon 2016 anjuran Kumpulan Sokongan Kanser Payudara Samo Terengganu di Kuala Ibai, Kuala Terengganu baru-baru ini bermula daripada senamrobik, pertandingan berjalan hinggalah sesi menyejukkan badan.

“Sebagai ahli keluarga pesakit, saya turut berasa teruja melihat sambutan masyarakat pada acara kali ini kerana jumlahnya hampir dua kali ganda berbanding kali pertama ia diadakan tahun lalu.

“Ini menandakan semakin ramai mula sedar mengenai kanser payudara dan sanggup meredah hujan untuk memberi sokongan kepada pesakit, bekas pesakit serta ahli keluarga mereka,” katanya.

Isterinya, Haidatul Azila Johar, 46, disahkan menghidap kanser payudara ketika mengandungkan anak bongsu mereka tujuh tahun lalu. Apabila kandungan cukup 38 minggu, dia dinasihatkan melahirkan anak melalui pembedahan Caesarean dan mereka terus bersetuju.

Dua minggu kemudian barulah rawatan kanser dimulakan. Tempoh dua minggu itu dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengumpulkan susu badan sebanyak mungkin bagi memenuhi keperluan nutrisi buah hati bongsu mereka. Ini kerana susu badan tidak boleh diberikan kepada si kecil selepas ibu menjalani rawatan kemoterapi.

“Ramai yang memberikan pelbagai cadangan terutama membabitkan kaedah rawatan alternatif namun kami lebih selesa menggunakan khidmat doktor pakar di hospital. Seperti semua orang maklum, kanser payudara penyakit yang cepat berkembang dan kami tidak mahu mengambil risiko mencuba rawatan seperti dicadangkan.

“Bagaimanapun, bukanlah bermakna saya menolak rawatan alternatif kerana setiap kaedah rawatan itu ada kelebihan dan kekurangan masing-masing,” katanya.

Samo Walkathon 2016 memberi makna besar kepada Nurul Huda Abd Wahab, 33, yang disahkan menghidap kanser payudara tahap empat pada penghujung tahun lalu.

Menurut wanita manis yang masih menjalani rawatan itu, kehadiran hampir 600 peserta termasuk lebih 60 pesakit dan bekas pesakit dalam acara itu menguatkan semangatnya untuk terus melawan penyakitnya dan menjalani kehidupan sebaik mungkin.

“Saya gembira melihat ramai yang sanggup korbankan cuti hujung minggu mereka dan meredah hujan untuk menjayakan acara ini. Peluang bertemu pesakit lain juga secara tidak langsung menguatkan semangat saya kerana selain menghidap kanser, saya juga ada masalah fibroid dan perlu menjalani pembedahan membuangnya,” jelas Nurul Huda sambil tersenyum.

Nurul Huda berkata, kempen kesedaran kanser payudara perlu diperbanyakkan lagi di negeri kelahirannya itu bagi memberi pendedahan meluas kepada golongan muda khususnya.

“Golongan muda biasanya kurang minat dan kesedaran untuk mengambil tahu mengenai penyakit. Dulu saya fikir kanser payudara hanya dialami oleh wanita pertengahan umur, tetapi apabila berlaku kepada diri sendiri, barulah saya tahu, rupanya wanita muda pun boleh menghidapnya.

“Walaupun kanser saya disahkan sudah sampai tahap keempat, saya reda. Saya pun mahu jadi ‘pejuang’ kanser yang memberi semangat dan membantu rakan seperjuangan lain khususnya dari segi pengetahuan mengenai insurans kesihatan,” kata ejen insurans ini yang datang bersama 15 sukarelawan dan 10 rakan sepejabat ke Samo Walkathon 2016.

Dalam loghat Terengganu, ‘samo’ bermaksud merah jambu. Kumpulan Sokongan Kanser Payudara Samo Terengganu diilhamkan oleh doktor, pesakit dan sukarelawan untuk menjadi pemangkin kepada maklumat penting berkaitan penyakit berkenaan untuk disebarkan kepada masyarakat setempat.

Berdasarkan Penyelidikan Kanser Malaysia, kira-kira 5,000 wanita Malaysia berumur di antara 30 dan 60 tahun disahkan menghidap kanser payudara setiap tahun. Tahun lalu saja 1.6 juta kes baru dikenal pasti dengan 560,000 kematian.

Walaupun statistik itu menyedihkan, Haidatul Azila, Nurul Huda dan lebih 60 pesakit kanser yang menyertai Samo Walkathon itu memilih menjalani kehidupan ceria dan aktif kerana ia turut membantu dalam memberi rangsangan positif kepada rawatan yang mereka terima. - Norlaila Hamima Jamaluddin

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2016 @ 1:12 PM