Murni Wan Omar

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, memerintahkan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohd Rafizi Ramli membayar ganti rugi RM200,000 terhadap National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) dan Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail berhubung saman fitnah membabitkan pembelian hartanah KL Eco City.

Pesuruhjaya Kehakiman Azizul Azmi Adnan membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa kenyataan Mohd Rafizi yang disiarkan di portal berita Mkini mengandungi pernyataan fitnah.

Mahkamah dalam keputusannya turut memerintahkan Mohd Rafizi membayar kos sebanyak RM100,000 kepada kedua-dua plaintif.

Selain itu, mahkamah juga memerintahkan NFCorp dan pengerusinya membayar kos sebanyak RM50,000 terhadap pemilik portal Malaysiakini, Mkini Dotcom Sdn Bhd selepas menolak saman terhadap defendan kedua itu.

Dalam writ saman dan penyata tuntutan difailkan pada 7 Mac 2012, plaintif mendakwa, Mohd Rafizi ada mengeluarkan kenyataan fitnah dalam sidang akhbar di ibu pejabat PKR berhubung pembelian hartanah KL Eco City dan berita itu disiarkan Malaysiakini pada hari sama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2016 @ 7:07 PM