KERETA api Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dari stesen KTM Ipoh melalui landasan selepas kerja membaiki siap berhampiran Stesen KTM Batu Gajah. FOTO Muhaizan Yahya
KERETA api Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dari stesen KTM Ipoh melalui landasan selepas kerja membaiki siap berhampiran Stesen KTM Batu Gajah. FOTO Muhaizan Yahya
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) bagi laluan Ipoh ke Kampar mula beroperasi seperti biasa, 3.40 petang tadi.

Tinjauan di Stesen KTM Ipoh mendapati pengguna perkhidmatan itu tidak perlu lagi menggunakan bas transit ke Kampar untuk ke destinasi masing-masing.

Difahamkan, satu laluan landasan dibuka bagi perjalanan kedua-dua arah selepas kerja pengalihan kereta api kargo yang tergelincir di Kampung Bakap, Batu Gajah, Jumaat lalu, selesai.

Ketua Komunikasi Korporat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Ridhwan Arshad berkata, kerja keras kakitangan KTMB mengalihkan kargo berkenaan sebelum laluan itu boleh dilalui seperti biasa.

"Kita menjangkakan kapasiti penumpang yang banyak pada sebelah tengah hari serta petang dan disebabkan itu kita berusaha untuk memastikan perkhidmatan boleh dimulakan hari ini.

"Kami memohon maaf atas kelewatan walaupun pada mulanya menjangkakan masalah ini dapat diselesaikan bermula perjalanan awal 5 pagi tadi," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, hujan lebat menyebabkan berlakunya masalah teknikal sehingga mengakibatkan kerja-kerja pengalihan lewat disiapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2016 @ 6:34 PM