FAIL Muhaizan Yahya
FAIL Muhaizan Yahya
Muhammad Apendy Issahak


Batu Gajah: Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) bagi perjalanan Ipoh ke Kampar dijangka boleh digunakan bermula seawal 5 pagi esok.

Pengerusi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Datuk Nawawi Ahmad berkata, ia susulan kerja pengalihan gerabak tergelincir dan terbalik yang sudah lebih 70 peratus siap dilakukan sehingga 5 petang hari ini.

Menurutnya, perkembangan positif itu hasil kerja berterusan dijalankan KTMB yang berusaha memulihkan sekurang-kurangnya satu landasan bagi membolehkan ETS kembali beroperasi.

"Hasil perkembangan ini, penumpang dijangka tidak lagi perlu menaiki bas transit di stesen Ipoh dan Kampar, esok.

"Kerja alih gerabak dilakukan bermula 12.30 tengah hari, menggunakan kren yang mampu mengangkat bebanan 360 tan," katanya ketika ditemui dilokasi kemalangan, hari ini.

Nawawi berkata, selepas kerja pengalihan gerabak selesai, tugas membaiki landasan akan dilakukan diikuti dengan kerja memasang semula bekalan elektrik di kawasan yang terjejas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Oktober 2016 @ 5:50 PM