myMetro

Batu Gajah: Landasan berkembar bagi laluan Kampar-Ipoh yang ketika ini hanya menggunakan satu landasan boleh digunakan sepenuhnya Isnin ini.

Untuk rekod, landasan itu rosak akibat insiden kereta api kargo tergelincir dan terbalik di Kilometer 200.32 berhampiran Kampung Bakap, di sini, 28 Oktober lalu.

Tinjauan di lokasi semalam mendapati semua gerabak yang terbalik sudah dialih daripada landasan yang dibaiki. Hanya sebuah lokomotif yang terbabit dalam insiden itu masih berada berhampiran landasan manakala pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bertungkus-lumus memperbaiki landasan berkenaan.

Ketua Komunikasi KTMB Ridhwan Arshad berkata, kerja membaiki landasan yang rosak sudah lebih 80 peratus siap.

“Kerja pembaikan landasan berjalan mengikut jadual dan ia dijangka dapat disiapkan dalam tempoh terdekat atau selewat-lewatnya Isnin ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Ridhwan berkata, walaupun ketika ini laluan berkenaan hanya menggunakan satu landasan tetapi perkhidmatan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS), penumpang dan kargo tidak terjejas.

Malah sehingga kini, pihaknya tidak menerima sebarang rungutan daripada pengguna.

Katanya, ia berikutan perkara berkenaan tidak menjejaskan jadual perjalanan dengan jurang kelewatan pula tidak melebihi 10 minit bagi setiap perjalanan.

“Cuma apabila kereta api tiba di lokasi kejadian, kelajuan ETS dikurangkan antara 60 hingga 80 kilometer sejam dan apabila melepasi kawasan berkenaan, ia kembali kepada kelajuan normal 140 kilometer sejam,” katanya.

Mengenai siasatan dalaman bagi kejadian itu, Ridhwan berkata, KTMB sedang menyiapkannya termasuk penyiasatan forensik dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat yang dijangka siap minggu depan.

Katanya, laporan itu kemudian diserahkan kepada Kementerian Pengangkutan dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Dalam kejadian jam 3 pagi itu, dua lokomotif membawa 40 gerabak dalam perjalanan dari Kuang, Selangor menuju ke Tasek, Ipoh, Perak mengambil muatan simen terbalik sebelum terbakar.

Kemalangan menyebabkan gangguan terhadap ETS bagi laluan Padang Besar, Perlis ke Gemas, Negeri Sembilan. Ia mengakibatkan 12,000 penumpang terkandas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2016 @ 10:26 AM