PENUMPANG ETS di Stesen KTMB Kampar menaiki bas transit untuk ke Stesen KTMB Ipoh bagi meneruskan perjalanan. FOTO Muhaizan Yahya
PENUMPANG ETS di Stesen KTMB Kampar menaiki bas transit untuk ke Stesen KTMB Ipoh bagi meneruskan perjalanan. FOTO Muhaizan Yahya
Muhammad Apendy Issahak


Kampar: Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) bagi laluan Ipoh ke Kampar masih belum boleh digunakan lagi susulan kejadian kereta api kargo yang tergelincir di Kampung Bakap, Batu Gajah, semalam.

Susulan itu ribuan penumpang masih terpaksa menggunakan perkhidmatan bas transit yang disediakan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Stesen KTM Ipoh dan Kampar.

Bagaimanapun, tinjaun mendapati keadaan di kedua-dua stesen berkenaan lebih lancar, hari ini, apabila beberapa bas transit lagi ditambah bagi kemudahan penumpang.

Exco Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Multimedia dan Komunikasi negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi yang turut meninjau keadaan di Stesen KTMB Kampar.

FOTO Muhaizan Yahya
FOTO Muhaizan Yahya

“Jika semalam keadaan agak kelam-kabut hingga ada penumpang yang terkandas terpaksa menunggu dua hingga tiga jam susulan perkhidmatan bas transit yang lewat

"Keadaan ini adalah di luar jangkaan selain ramai penumpang yang menggunakan perkhidmatan ETS sempena cuti Deepavali.

“Saya dimaklumkan kelewatan bas juga adalah disebabkan kesesakan jalan susulan kemalangan di lebuh raya hingga menyebabkan bas tidak dapat sampai awal di stesen kereta api," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurutnya, pada hari ini pergerakan penumpang lebih lancar apabila pengurusan KTMB menambah bas transit selain keadaan lalu-lintas lebuh raya yang tidak sesak.

"Kerajaan negeri bersama beberapa agensi turut mengambil langkah awal membantu penumpang yang terkandas dengan menyalurkan makanan dan minuman kepada mereka bermula malam tadi.

"Ini disebabkan tiada kemudahan menjual makanan dan air terutama di stesen KTMB Kampar dan pihak kerajaan negeri dijangka akan meneruskan usaha ini sehingga landasan dipulihkan dijangka paling awal esok," katanya.

Sementara itu, tinjauan di lokasi kereta api tergelincir pula mendapati kerja-kerja membaik pulih sedang giat dijalankan termasuk penggunaan jentera berat seperti kren.

FOTO Muhaizan Yahya
FOTO Muhaizan Yahya

Pihak pengurusan KTMB juga dijangka akan mengadakan sidang media mengenai perkembangan kemalangan itu pada jam 5 petang ini di Stesen KTMB Batu Gajah.

Dalam kejadian kira-kira 3 pagi semalam, kereta api kargo dengan dua lokomotif serta 40 gerabak tergelincir dan terbalik di Kampung Bakap.

Nahas itu menyebabkan kira-kira 12,000 penumpang ETS terjejas akibat laluan dari Kampar ke Ipoh terpaksa ditutup.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Oktober 2016 @ 1:19 PM