Oleh Erdiehazzuan Ab Wahid


Berkayuh sambil menghayati keindahan di Kota Belud, Sabah. Begitulah tarikan Jamboree Kota Belud 2014 yang berjaya menarik lebih 300 penyertaan. Motif penganjuran jelas bagi mempromosikan Kota Belud sebagai destinasi pelancongan yang menyajikan kedamaian.

Diadakan sempena sambutan Tamu Besar Kota Belud, iaitu sambutan diadakan saban tahun di daerah berkenaan, peserta perlu berkayuh sejauh 20 kilometer (km) melalui beberapa laluan, termasuk kawasan kampung.

Biarpun jarak laluan ditempuhi peserta boleh dikatakan tidak terlalu jauh, peluang menghayati keindahan di daerah ini sungguh mempesonakan. Ini kerana peserta berpeluang menghayati pelbagai pemandangan menarik kawasan sekitar Kota Belud yang dihiasi dengan latar belakang banjaran Gunung Kinabalu sebagai panorama utama.

Dek tarikan ini, tidak hairan ia turut disertai penggemar basikal dari beberapa daerah lain di Sabah, Sarawak dan peserta luar negara.

Bermula di Padang Kota Belut pada jam 10.30 pagi, jamboree dilepaskan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Salleh Tun Said.

Antara laluan yang dilalui peserta membabitkan kawasan Kampung Bobot, Kampung Wokok, Kampung Tempasuk 1, Kampung Sangkir, Kampung Kimo-Kimo, Kampung Kondis dan Kampung Butong sebelumdan berpatah semua ke Kampung Wokok dan Kampung Bobot sebelum kembali semula ke Padang Kota Belud. Aktiviti kayuhan itu dianjurkan Kelab Berbasikal Kota Belud (KBCC) dan Casero Event.

Presiden KBCC, Mohd Mustazar Bundah berkata, penganjuran Jamboree Kota Belud boleh diumpamakan medan mencungkil bakat baru di kalangan peminat lumba basikal.

Selain itu, katanya, program itu dapat mewujudkan masyarakat sihat dengan berbasikal selain mengeratkan silaturahim antara pengayuh.

"Pada mulanya kami hanya menganggarkan penyertaan sekitar 100 hingga 150 peserta, namun sambutan sangat menggalakkan apabila 300 peserta membuat pendaftaran.

"Program ini sebenarnya bagi memperkenalkan Kota Belud sebagai pusat ekopelancongan yang terkenal dengan penanaman padi," katanya.

Berdasarkan sambutan diterima, pihaknya bercadang meneruskan program sama pada masa akan datang.

Dalam jamboree itu, sebanyak empat kategori dipertandingkan iaitu Lelaki Terbuka, Veteran Terbuka, Wanita Terbuka dan Bawah 12 Tahun.

Peserta kayuhan melalui kawasan bertar sejauh empat km sebelum melalui kawasan berbatu sejauh dua km. Selepas melalui laluan bertar, peserta perlu melalui kawasan tanah merah sejauh 10 km dan menguji ketahanan kayuhan fizikal dengan melalui kawasan berbukit sejauh empat km.

Sementara itu, pada Jamboree Kota Belud, acara Duathlon turut diadakan di mana peserta melalui laluan sejauh 24 km melalui beberapa kawasan sekitar pekan Kota Belud.

Bagi acara Duathlon, peserta memulakan larian sejauh dua km bermula di Padang Kota Belud dan berkayuh sejauh 20 km yang melalui jalan Bypass Kota Belud dan kembali berlari sejauh dua km sebelum menamatkan larian di tempat sama.

Terdahulu, peserta kayuhan Mohd Zulhilmi Ajmain, 18, me­ngakui laluan bagi acara Jamboree menguji ketahanan fizikal di mana dia terpaksa melalui beberapa kawasan berbatu dan berbukit.

"Sebagi golongan muda, program ini adalah aktiviti berguna dan menyihatkan badan. Ia juga mampu menarik minat golongan muda untuk tidak bergiat dalam aktiviti yang kurang sihat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Disember 2014 @ 5:01 AM