Keningau: Kanak-kanak lelaki hilang dipercayai lemas ketika mandi dengan dua rakannya di Sungai Pegalan, dekat sini, petang ini.

Mohd Hazim Hakim, 12, dari Kampung Taurid Taud, dikatakan dihanyutkan arus sungai deras sejauh kira-kira 200 meter sebelum hilang.

Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Keningau, Janil Jaya ketika dihubungi, berkata mereka menerima laporan berkenaan kejadian itu kira-kira jam 4.13 petang.

Beliau berkata, mereka seterusnya melancarkan operasi mencari dan menyelamat membabitkan 13 anggota termasuk ahli bomba bantuan.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat mangsa ditangguhkan kira-kira 6.53 petang kerana keadaan gelap dan akan disambung pada jam 6 pagi esok. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Oktober 2014 @ 10:25 PM