ANGGOTA bomba mengangkat mayat Azila yang ditemui kira-kira 1.7 kilometer dari lokasi kejadian di Sungai Pegalan. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba mengangkat mayat Azila yang ditemui kira-kira 1.7 kilometer dari lokasi kejadian di Sungai Pegalan. FOTO Ihsan Bomba
Juwan Riduan


Keningau: Seorang daripada dua beradik yang dilaporkan hilang di Sungai Pegalan, berhampiran Kampung Lingkudau, di sini, semalam ditemukan lemas, hari ini.

Mayat Azila Jabar, 12, ditemui jam 11.36 pagi oleh pasukan bomba dan penduduk kampung, manakala adiknya belum ditemui.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Sharudy Delamin berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kedua dimulakan jam 6.34 pagi dengan jarak 2.5 kilometer dari lokasi mangsa dipercayai tenggelam.

"Pasukan mencari turut berjalan menyusuri tebing sungai dalam operasi itu.

"Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjalankan operasi pencarian dengan melakukan selaman," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa pertama ditemui dalam keadaan terapung kira-kira 1.7 kilometer dari lokasi kejadian dan 500 meter dari pusat kawalan tempat kejadian (PKTK).

"Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Sharudy berkata, operasi SAR mencari mangsa kedua diteruskan dan maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang semalam, mangsa Azila Jabar, 12, dan adiknya Arlina, 9, dipercayai bermain berhampiran tebing sungai berkenaan sebelum Arlina terjatuh ke dalam sungai.

Azila kemudian terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan adiknya namun kedua-duanya hilang di dalam air.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2023 @ 1:17 PM