KERETA Perodua Kenari yang dipandunya terjatuh ke dalam sungai. FOTO Ihsan Bomba
KERETA Perodua Kenari yang dipandunya terjatuh ke dalam sungai. FOTO Ihsan Bomba
Fardy Bungga


REMAJA lelaki dikhuatiri lemas selepas kereta dipandunya terjatuh sebelum hanyut lebih 100 meter di Sungai Pegalan, berhampiran Kampung Dang Gulat, Keningau, kira-kira 1 pagi tadi.

Mangsa yang dikenali sebagai Mohd Hazim Zihni Jubik, 17, dikatakan baru menghantar teman wanitanya di kampung berkenaan dan cuba melintasi jambatan yang ditenggelami air akibat hujan lebat sejak semalam.

Bagaimanapun, kereta jenis Perodua Kenari yang dipandunya terjatuh ke dalam sungai sebelum hanyut di sungai berkenaan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Keningau Jaree Mohamad berkata, pihaknya menerima makluman kejadian itu pada 9.40 pagi.

Katanya, tiga jentera dan 10 anggota dikerah ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat dalam jarak 300 meter dari lokasi kenderaan mangsa ditemui.

"Setakat 3.15 petang, kami masih gagal menemui mangsa dan operasi masih diteruskan di kawasan Sungai Pegalan dan Sungai Liawan.

"Keadaan air sungai yang deras ekoran hujan lebat sebelum ini sedikit menyukarkan operasi mencari dan menyelamat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2017 @ 4:41 PM