Dua terbunuh, empat lagi cedera dalam kemalangan di Jalan Seremban-Kuala Pilah, berhampiran Bukit Putus, pagi tadi. - Foto Ihsan Bomba
Dua terbunuh, empat lagi cedera dalam kemalangan di Jalan Seremban-Kuala Pilah, berhampiran Bukit Putus, pagi tadi. - Foto Ihsan Bomba
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor dan Khairul Najib Asarulah Khan


Seremban: Dua lelaki yang maut dalam kemalangan di Jalan Seremban-Kuala Pilah, berhampiran Bukit Putus di sini, pagi tadi, adalah kakitangan Bank Rakyat cawangan Kuala Pilah serta pegawai di Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) Kuala Pilah.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBDP) Senawang, Zainurin Sharif, berkata mereka ialah Shahrulnizam Abu Hasan, 33, dan Zahari Mashor, 33.

Mangsa yang cedera parah pula dikenali sebagai Nurul Syafina Abdul Mulop, 23, dan Nursyahira Adila Saiful Zaman, 20.

Dua lagi mangsa yang cedera parah iaitu seorang lelaki dan seorang wanita belum dikenal pasti identiti mereka.

Menurut Zainurin, semua yang cedera menaiki kereta Perodua MyVi manakala dua mangsa yang terbunuh ialah pemandu dan penumpang Perodua Kelisa.

Beliau berkata, dalam kejadian 8.10 pagi itu, kedua-dua mangsa yang maut dalam perjalanan dari Seremban menuju ke tempat kerja di Kuala Pilah.

“Sebuah kereta Perodua Myvi dari arah bertentangan dipercayai cuba memotong kenderaan di depan namun gagal dan bertembung dengan Perodua Kelisa,” katanya.

Mayat mangsa yang terbunuh dan mereka yang cedera dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Februari 2017 @ 1:47 PM