Siraj Mohd Zaini


IBU tunggal ditemui mati dengan keadaan separuh bogel dipercayai dibunuh di bawah jejantas di Jalan Raja Nong, Klang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, mayat wanita berusia 37 tahun dan mempunyai dua anak itu ditemui orang awam pada 7.41 pagi tadi.

Menurutnya, pemeriksaan pada badan mangsa mendapati terdapat kesan lebam pada mata kanan dan benjol di dahi dipercayai dihentak dengan senjata tumpul.

"Mayat ditemui dalam keadaan separuh bogel dengan seluar pendek dan seluar dalamnya sudah dibuka sehingga paras buku lali.

"Mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum dibuang di kawasan berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat.

"Sehubungan itu, polis menahan tiga lelaki yang dipercayai mempunyai hubungan dengan mangsa bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2017 @ 7:02 PM