NIKMATI makanan lazat dan pemandangan menawan di Zaaffran Restaurant, Sydney. FOTO Tourism Australia
NIKMATI makanan lazat dan pemandangan menawan di Zaaffran Restaurant, Sydney. FOTO Tourism Australia

TIDAK hanya menawarkan keindahan alam semula jadi dan tarikan pelancongan yang mengujakan, Australia juga 'lubuk' makanan yang menggabungkan pelbagai cita rasa enak dari pelbagai negara.

Australia adalah tumpuan pelbagai bangsa yang turut membawa pengaruh tidak hanya budaya tetapi juga makanan warisan mereka. Faktor itu turut menjadikan Australia sebagai negara yang menyediakan pelbagai makanan untuk memenuhi selera dan keperluan agama bukan saja dikalangan rakyatnya tetapi juga pelancong dari serata dunia.

Makanan halal? Ia pastinya tidak sukar ditemui di Australia dan lebih menarik setiap wilayah menawarkan pelbagai makanan enak dan paling penting sesuai untuk pelancong yang inginkan makanan halal dan mesra Muslim.

Dengan pandemik Covid-19 yang masih menular ini, kunjungan ke Australia mungkin perlu ditangguh buat sementara waktu. Namun, itu tidak bermakna anda tidak boleh membuat perancangan awal untuk mendapatkan percutian yang lancar.

Justeru, semak dan simpan lokasi tempat makan yang disenaraikan ini bagi memudahkan anda mencari makanan halal apabila mengunjungi Australia nanti.

  • Restoran halal terbaik di Australia

    Bermula dari kafe yang murah hingga restoran mewah, menjamu selera dengan keenakan makanan halal ketika bercuti di Australia pasti membuatkan percutian anda lebih mengujakan.

    Di Sydney, Jimmy's Recipe yang terletak di sebelah Circular Quay menyajikan makanan Malaysia yang bukan saja enak, terkenal tetapi mesti dicuba iaitu laksa, mi goreng tradisional dan nasi lemak.

    Restoran Zaaffran pula, menanti pengunjung dengan menu pan-India membuatkan hidangan makan tengahari atau malam yang luar biasa. Mulakan dengan rasa barramundi yang enak dan kaldu, kemudian 'lamb shanks' yang dimasak dengan perlahan dengan sos bawang karamel pedas dan tulang rusuk daging lembu panggang yang sedap.

    Selain hidangan enak yang disajikan, lokasi Restoran Zaaffran terletak di kawasan popular Darling Harbour yang turut menawarkan pemandangan pemandangan kawasan perairan dengan bangunan ikonik Sydney yang menakjubkan sesuai untuk pengunjung yang suka berswafoto.

    Ketika berada di Utara Adelaide, mengunjungi restoran sajian Maghribi, Marrakech adalah satu kemestian.

    Di sini, mulakan sajian anda dengan beberapa roti Maroko sebelum beralih ke hidangan tagines yang berempah dengan daging kambing, ayam dan daging lembu. Inginkan lebih? Tanjia Marrakchia pastinya membuatkan anda pulang dengan perut yang kenyang dan gembira.

    Jika berada di Adelaide menjamu selera di Jerusalem Sheshkebab House satu kemestian. Menjamu selera di restoran ini sudah menjadi tradisi di Adelaide selama lebih 40 tahun dan kualiti makanannya sememangnya terbaik. Seperti nama restorannya, daging panggang adalah hidangan yang harus dicuba terutama kebab kambing perap.

    FORTITUDE Valley, Brisbane. FOTO Tourism Australia
    FORTITUDE Valley, Brisbane. FOTO Tourism Australia

    Beranjak ke Brisbane, makanan timur tengah dihidangkan di Mecca Bah antara pilihan menanti. Terletak di pinggir bandar Fortitude Valley, kawasan yang terkenal dengan pelbagai butik fesyen dan kafe, mulakan hidangan dengan kacang tumbuk kerang atau coleslaw timur tengah.

    Kemudian beralih ke kambing rempah dengan kuskus mutiara atau tagine ayam dengan kayu manis dan kismis. Jadikan pula coklat panas dan brownie Turki sebagai penutup, cukup sempurna.

    Hidangan makanan tradisional Turki dan daging kambing panggang pada setiap malam Jumaat, Sabtu dan Ahad di Mado Restaurant cukup menyelerakan. Restoran ini terletak di South Bank yang popular dengan penduduk tempatan.

    Selain menu utama, pencuci mulut tradisional Turki seperti şekerpare (biskut semolina) antara yang perlu di cuba di restoran yang terletak di tepi Sungai Brisbane ini.

    Jika bercuti di Canberra, Samiuz Ristorante & Pizzeria menjadi lokasi santapan pelbagai hidangan Itali enak.

    Dari pasta carbonara, arrabiata, lasagna hingga parmigiana, ia dibuat dengan asas tradisional.

    Terdapat juga pilihan stik dan makanan laut dan semua hidangan daging yang ditawarkan di dalam menu disahkan Halal.

    MENGHAYATI seni jalanan di Darwin, Northern Territory. FOTO Tourism Australia
    MENGHAYATI seni jalanan di Darwin, Northern Territory. FOTO Tourism Australia

    Inginkan hidangan kari ayam pedas atau terong berlada di Darwin? Restoran makanan Indonesia, Sari Rasa yang terletak di belakang Cavenagh Street adalah tempatnya.

    Hidangan kari di Sumatra Cafe yang terletak di Anthony Plaza, Smith Street Mall juga tidak kurang hebatnya.

    Jika ingin menikmati kari paling popular di Darwin ini, pengunjung menempah meja lebih awal untuk makan tengah hari. Hidangan nasi dengan rendang daging dan terung berlada kemudian disambung dengan Es Campur yang penuh dengan kacang merah, jeli dan buah-buahan nyata menyelerakan.

    HIDANGAN masakan India Utara di Restoran Saffron, Hobart, Tasmania. FOTO Facebook Saffron Waterfront
    HIDANGAN masakan India Utara di Restoran Saffron, Hobart, Tasmania. FOTO Facebook Saffron Waterfront

    Di Hobart, Restoran The Saffron yang terletak di kawasan 'waterfront' menyajikan masakan asli India Utara dan Kashmir.

    Hidangan istimewa yang harus dipesan di restoran ini adalah kebab murgh malai, isi ayamnya dipotong dadu yang diperap semalaman dan dipanggang sehingga sempurna. Semua hidangan daging disediakan menggunakan daging halal.

    Masih di Hobart, Kathmandu Cuisine yang terletak di Battery Point pula menawarkan keenakan makanan Nepal asli dan unik. Momas, daging tradisional atau ladu dipenuhi sayur-sayuran, ia antara menu harus dicuba. Hidangan terung dan kentang, bhanta aloo serta pencuci mulut dengan bebola keju goreng dimasak dalam sirap gula pastinya tidak akan mengecewakan.

    Selesai menjamu selera, rumah-rumah bersejarah dengan reka bentuk kolonial yang masih utuh boleh dilihat saat bersiar-siar di sekitar Battery Point pasti membuat kunjungan anda sesuatu yang tidak mudah dilupakan.

    RUMAH-RUMAH warisan di Battery Point, Hobart, Tasmania. FOTO Tourism Australia
    RUMAH-RUMAH warisan di Battery Point, Hobart, Tasmania. FOTO Tourism Australia

    Mengunjungi Melbourne, makanan halal juga tidak menjadi masalah.

    ABLA'S yang sudah beroperasi selama 35 tahun tetap menjadi tempat makan untuk sajian Lubnan. Cef dan pemiliknya, Abla Ahmed menyediakan hidangan daging yang pedas dan asli.

    Menikmati Baklava di sini adalah satu kemestian.

    Di Perth pula, antara restoran yang boleh di kunjungi adalah Beiyrut Restaurant yang menyajikan makanan tradisional Lubnan pada hujung minggu.

    Tidak hanya menjamu selera di kafe atau restoran, pelbagai pengalaman makanan lain yang dapat di nikmati oleh pelancong Muslim di negara Kangaroo ini.

  • Memetik buah-buahan di musim panas

    Memetik sendiri di ladang kemudian menikmati keenakan buah-buahan segar pasti membuatkan percutian kulinari di Australia satu pengalaman yang luar biasa.

    Ketika musim panas Australia dari Disember hingga Februari, pelbagai aktiviti yang menyeronokkan untuk seisi keluarga turut menyajikan keenakan pelbagai jenis buah dan makanan yang segar dari ladang.

    Hanya 90 minit pemanduan ke utara Melbourne di Yarra Valley, Rayners Orchard, Victoria adalah destinasi yang menarik untuk dikunjungi.

    Kebun buah ini mengandungi lebih 450 jenis buah termasuk buah pic dan aprikot. Di antara bulan Disember dan Mac kebun ini turut menawarkan lawatan menaiki traktor di sekitar kebun setiap hari.

    Ingin kunjungan yang lebih menyeronokkan, pilih lawatan U-Pick yang membolehkan pengunjung memetik buah sebanyak yang disukai dengan hanya membayar AUD $ 5 sekilo. Pengunjung juga boleh membuat cenderahati sendiri di bengkel pembotolan buah yang percuma untuk kanak-kanak.

    Di Wollongong, New South Wales, terdapat pula kebun epal Appleshack di Glenbernie Orchard yang menantikan anda dengan aktiviti memetik buah epal yang amat menyeronokkan.

    NIKMATI keseronokan memetik buah epal di Glenbernie Orchard. FOTO Facebook Wollongong (Glenbernie Orchard)
    NIKMATI keseronokan memetik buah epal di Glenbernie Orchard. FOTO Facebook Wollongong (Glenbernie Orchard)

    Mengambil masa lebih dari satu jam perjalanan dari Sydney, pengunjung dapat menikmati pelbagai hasil epal yang segar termasuk jem dan cuka dari AppleShack. Sekitar November hingga April, jangan lepaskan peluang mengisi bakul anda dengan epal, pic dan nektarin. Menikmati kesemua raspberi juga adalah satu kemestian.

    Jika anda lebih suka buah-buahan kecil dan manis, Hillwood Berry Farm di Tamar Valley, Tasmania adalah tempat yang sesuai. Dengan hanya 30 minit pemanduan ke utara Launceston, ladang milik keluarga ini menawarkan pengalaman memetik sendiri strawberi, raspberi dan blackcurrant dari November hingga Mei dengan bayaran hanya AUD $10 sekilo.

    Puas memetik buah, menikmati kenakan minuman hangat dan sajian jem beri buatan sendiri beserta Super Deluxe Ice Cream Sundae yang terkenal di situ. Ladang ini juga menjual pelbagai jenis keju. Tidak hanya memetik buah dan menjamu selera, si kecil juga dapat melihat pelbagai haiwan ternakan di sini termasuk itik, kambing dan ayam.

  • Hidangan makanan laut segar yang menyelerakan

    Bagi pencinta makanan laut, Australia juga menawarkan pelbagai keenakan makanan laut segar.

    Di Sydney, anda berpeluang melihat bagaimana tiram segar dibersihkan di Sydney Fish Market dan menikmati keenakan sepinggan 'fish & chips' yang menyelerakan.

    Pandu keluar dari Sydney ke arah South Coast di mana restoran chef selebriti Rick Stein di butik hotel Bannisters by the Sea turut menyajikan keenakan makanan laut dengan pemandangan menakjubkan.

    Di Canberra pula, Maestral Seafood Restaurant nyata tidak mengecewakan. Berkunjung ke Fyshwick Fresh Food Markets yang terkenal di mana Ocean Fresh Seafoods menawarkan tiram batu dan Pasifik. Satu lagi peniaga di pasar tersebut, Sea Harvest, pakar dalam makanan laut tempatan seperti udang, ketam dan udang galah yang cukup enak.

    PELBAGAI pilihan makanan laut segar di Fyshwick Fresh Food Markets FOTO Ihsan Fyshwick Fresh Food Markets
    PELBAGAI pilihan makanan laut segar di Fyshwick Fresh Food Markets FOTO Ihsan Fyshwick Fresh Food Markets

    Northern Territory terkenal dengan ikan barramundi liar yang banyak pada musimnya antara bulan Mac dan November. Di hujung pesisir utara Australia, pengunjung boleh memancing sendiri ikan barramundi, tuna ekor panjang dan makerel Spanyol, kemudiannya dimasak terus di Barramundi Lodge, Arnhem Land. Pengunjung juga boleh memilih ketam atau kerang di Pasar Ikan Carmel dan memasaknya sendiri atau mengunjungi Rachel's Seafood Shack untuk menyediakannya secara profesional.

    Tasmania terkenal dengan lobster, tiram Pasifik, sotong gurita dan abalonnya. Berkunjung ke Hobart, penginapan mewah Saffire Freycinet memberi peluang kepada tetamunya menikmati terus tiram di perairan Tasmania. Di Huon Valley, anda boleh cuba memancing ikan trout yang cukup mengujakan. Ikuti juga lawatan 'Seafood Seduction' yang menaiki kapal di sekitar Pulau Bruny dan nikmati udang karang, abalone dan landak laut terus dari laut.

    Bagi pencinta makanan laut yang berkunjung ke Melbourne, jangan lupa untuk membuat tempahan jika ingin menikmati hidangan enak di The Atlantic. Restoran ini mempunyai bar tiram khusus, menu ala carte atau menu utama dengan enam hidangan antaranya Salmon Ora King, tiram dan banyak lagi.

  • Makan mudah di Australia

    FARHAN (berdiri) bergambar bersama rakan ketika menjamu selera di Kailis Fish Market Cafe
    FARHAN (berdiri) bergambar bersama rakan ketika menjamu selera di Kailis Fish Market Cafe

    Berkongsi pengalaman bercuti bersama rakan di Perth, Australia, Farhan Selim berkata hidangan ayam golek dan stik kambing di Charcoal Chicken Express, Perth antara menu yang sentiasa dirinduinya.

    Bukan itu saja, katanya makanan laut segar yang dimasak mengikut permintaan pelanggan di Kailis Fish Market Cafe, Fremantle iaitu tempat makan terbaik tidak harus dilepaskan.

    Jika tidak makan di restoran, memasak sendiri juga pilihan terbaik di Australia. Ini kerana, Australia mempunyai produk pertanian segar dan lebih mengujakan negara itu mempunyai beberapa pasar raya menyediakan produk halal.

    Sedang merancang percutian ke Australia apabila selamat untuk melancong nanti? Klik https://www.australia.com/en-my/travel-inspiration.html untuk idea percutian yang lebih banyak.

  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2020 @ 3:55 PM