ABDULLA Mohammed (lima dari kanan) bersama Tayeb (enam dari kanan) bergambar bersama tetamu kehormat yang hadir di majlis pelancaran AIO, Dubai.
ABDULLA Mohammed (lima dari kanan) bersama Tayeb (enam dari kanan) bergambar bersama tetamu kehormat yang hadir di majlis pelancaran AIO, Dubai.
Sri Ayu Kartika Amri

Dubai: Pengurusan wakaf bersepadu perlu dilaksanakan di semua negara Islam seluruh dunia untuk pembangunan mapan sosial dan ekonomi Islam.

Dengan wujudnya Pertubuhan Antarabangsa Awqaf (AIO) iaitu inisiatif pertama seumpamanya di peringkat global dijangka dapat meningkatkan pembangunan masyarakat di semua negara menerusi dana yang kukuh.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Ekonomi Islam Dubai (DIEDC), Abdulla Mohammed Al-Awar berkata, menerusi penubuhan AIO, pihaknya menjangkakan ia mampu mencapai impak positif bagi kelangsungan hidup komuniti di seluruh dunia.

“Kami juga berharap AIO akan memainkan peranan utama dalam mengukuhkan institusi wakaf termasuk melalui kemudahan pembiayaan untuk pengusaha kecil dan sederhana (PKS),” katanya di majlis pelancaran AIO di Sidang Kemuncak Ekonomi Islam Global (GIES 2016) di sini, kelmarin.

Sementara itu, Setiausaha Agung Awqaf & Minors Affairs Foundation (AMAF), Tayeb Al Rais berkata, AIO diinspirasi oleh Naib Presiden merangkap Perdana Menteri Emiriah Arab Bersatu, yang juga Pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum yang mengetengahkan entiti baharu.

“Ini adalah inisiatif baru global yang mengambil kira situasi sekarang dalam masyarakat Islam bukan saja di rantau ini, malah seluruh dunia yang mana memerlukan pembangunan holistik dan mapan tidak hanya dalam suasana harmoni, tetapi juga seiring dengan nilai Islam serta pembangunan moden.

“Dengan penubuhan AIO, kami mencipta platform untuk semua institusi awqaf seluruh dunia di bawah satu bumbung yang mampu menghasilkan saluran tepat, kerjasama dan berkongsi ilmu pengetahuan serta pengalaman mengenai pengurusan wakaf yang dilaksanakan di negara masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, AIO juga akan mengukuhkan lagi kedudukan institusi untuk membantu orang ramai dari peringkat akar umbi tidak mengira latar belakang agama dan etnik.

AIO turut mewakili beberapa institusi di dunia termasuk AMAF, DIEDC, Pusat Global Mohammed bin Rashid, Bahagian Awqaf di Sharjah, Awqaf Afrika Selatan, Awqaf Kanada, Awqaf New Zealand, Awqaf Amerika Syarikat, Awqaf Australia, Pertubuhan Persendirian Kewangan Islam Eropah dan Awqaf Sheikh Mohammed Abdulaziz Al Rajhi. Di Dubai pengurusan wakaf banyak tertumpu menerusi sumbangan individu yang berharta dan berpengaruh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2016 @ 7:23 AM