Sri Ayu Kartika Amri

Dubai: Sidang Kemuncak Ekonomi Islam 2016 (GIES 2016) yang bermula semalam akan memberi tumpuan kepada tujuh tunggak utama ekonomi Islam iaitu kewangan, industri halal, pelancongan keluarga, infrastruktur digital, seni Islam, pengetahuan dan standard halal.

Persidangan itu juga akan terus menjadi platform bersepadu bagi pembuat keputusan dan pakar dari seluruh dunia untuk membincangkan isu utama serta trend dalam ekonomi Islam bagi menambah baik kehidupan rakyat serta mencapai pembangunan berterusan.

Sidang kemuncak kali ke-3 ini berlangsung di Madinat Jumeirah, Dubai selama dua hari (11 dan 12 Oktober) anjuran Dubai Chamber dengan kerjasama Pusat Pembangunan Ekonomi Islam Dubai dan Thomson Reuters sebagai rakan kongsi strategik.

Pengerusi Dewan Perniagaan dan Industri Dubai (Dubai Chamber), Majid Saif Al Ghurair berkata, memandangkan ekonomi Islam terus mencapai pertumbuhan pesat, sidang kemuncak ini menjadi sangat penting untuk berkongsi idea dari semua pihak yang terbabit.

“Kami berharap perbincangan yang membuahkan hasil mengenai isu penting seperti perkembangan sosioekonomi dan kestabilan yang dapat membawa kepada satu lagi peringkat bagi pembangunan masa depan ekonomi Islam.

“GIES sebelum ini banyak membantu membentuk pelan tindakan bagi pertumbuhan ekonomi Islam dan membuktikan kita berada di landasan untuk mengukuhkan budaya ekonomi Islam secara global,” katanya kepada Bisnes Metro sempena GIES 2016 di sini, semalam.

Menurutnya, hanya melalui ekonomi Islam yang bersepadu, dapat membantu menjalin perkongsian antarabangsa sekali gus memberi pencapaian lebih baik kepada masyarakat daripada segi keselamatan sosial, kewangan dan keseluruhan perkembangan sektor yang terbabit.

GIES pertama kali diadakan pada 2013 yang memperkenalkan kepada dunia untuk memberi idea dalam mencapai ekonomi global bersepadu. Berikutan mendapat sambutan, penganjuran GIES diteruskan pada 2015 yang meneroka semua manfaat ekonomi Islam bagi semua pihak.

Ia dihadiri Naib Presiden merangkap Perdana Menteri Emiriyah Arab Bersatu (UAE), yang juga Pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum dan Putera Mahkota Dubai, Sheikh Hamdan Mohammed Rashid.

Edisi tahun ini menghimpunkan lebih 3,000 peserta termasuk pakar ekonomi Islam UAE dan negara dari seluruh dunia yang akan memberi tumpuan kepada tanggungjawab sosial korporat dalam ekonomi Islam. Antara wakil negara yang mengambil bahagian dalam persidangan itu termasuk United Kingdom, Itali, Malaysia, Kuwait, Mesir, dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Oktober 2016 @ 7:34 AM