Oleh Saiful Affendy Sapran dan Ferzalfie Fauzi

Sepang: Gelora penyokong Harimau Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil menjadi perkara cukup dibimbangi ketua jurulatih Thailand Kiatisuk Senamuang apabila turun pada final kedua Piala AFF esok.

Meskipun anak buahnya dilihat berpeluang cerah menjulang piala berprestij di rantau Asia Tenggara itu, Kiatisuk menjangkakan kehadiran puluhan ribu penyokong Malaysia mungkin akan memberikan impak berbeza kepada skuad bimbingan Dollah Salleh.

“Pada perlawanan pertama, kami sudah melakukan yang terbaik dan mengambil kesempatan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.

“Tetapi kini ceritanya berbeza. Kami akan beraksi di Bukit Jalil yang kita ketahui begitu ramai penyokong Malaysia akan memenuhi stadium.

“Dengan situasi ini, saya kembali meletakkan situasi Thailand untuk menang adalah 50-50,” katanya.

Bagaimanapun Kiatisuk percaya anak buahnya tidak berasa tertekan meskipun rata-rata mereka masih muda dan kurang berpengalaman.

“Saya hanya mahu mereka merasai pengalaman beraksi di pentas tertinggi seperti ini dan memberikan persembahan terbaik untuk penyokong Thailand serta Malaysia,” katanya.

Kiatisuk juga mengesahkan ada beberapa pemain utamanya yang mengalami kecederaan, tetapi beliau enggan mendedahkannya sebaliknya menyatakan ia tidaklah begitu serius.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Disember 2014 @ 5:07 AM