BARISAN Harimau Malaya melaungkan keyakinan mampu membenam Thailand pada aksi final kedua Piala AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Majoriti pemain berpendapat kekalahan 0-2 pada aksi final pertama di Stadium Nasional Rajamangala, Bangkok, pada Rabu lalu, mampu ditebus dengan sokongan padu puluhan ribu penyokong tanah air yang dijangka membanjiri stadium.

Perancang tengah, Safiq Rahim berkata walaupun di atas kertas Thailand memiliki kelebihan, dia yakin peluang skuad Harimau Malaya belum tertutup.

“Bagi saya, kita tidak boleh mempersiakan setiap peluang terhidang. Kita perlu cari kemenangan (dengan jaringan besar). Kita ada penyokong sendiri dan kehadiran mereka menjadi motivasi bagi kita memberi persembahan terbaik.

“Semua pemain tahu, misi kita perlukan gol awal dan kemenangan. Corak permainan kita dengan Thailand (pada final pertama) tidak jauh beza cuma kita lebih bertahan berbanding Thailand yang kerap menyerang,” katanya pada sesi latihan skuad Harimau Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Berkongsi pandangan sama ialah kapten pasukan, Muhammad Shukor Adan yang berpendapat, kehadiran puluhan ribu penyokong di halaman sendiri menjadi motivasi terbaik bagi pemain mempamerkan persembahan cemerlang untuk bergelar juara.

Pemain veteran berusia 35 tahun itu mengandaikan ‘Gajah Perang’ kendalian Kiatisuk Senamuang itu mampu ditewaskan sekiranya mereka berjaya mengekang bahagian tengah pasukan lawan yang menjadi tonggak kekuatan mereka.

“Kita semua tahu kekuatan Thailand (di bahagian tengah). Jurulatih (Dollah Salleh) juga sudah memberi tips bagi menghadapi perlawanan malam esok.

“Dengan kehadiran penyokong yang ramai di halaman sendiri pada perlawanan malam esok, kita mampu memberi sesuatu kepada mereka...kita kena menang,” kata kapten kelab Felda United FC itu.

Baddrol Bakhtiar pula bertekad untuk membolosi pintu gol Thailand sekiranya diberi peluang beraksi oleh Dollah selepas sering diturunkan pada saat-saat genting.

“Kita akan menyerang kubu Thailand bagi mencari gol awal. Kami perlu pamerkan persembahan luar biasa pada perlawanan esok selain mencari kelemahan pasukan Thailand,” kata pemain kelahiran Sungai Petani, Kedah itu.

Malaysia perlu memenangi perlawanan itu dengan sekurang-kurangnya tiga gol sambil mengharapkan Thailand tidak memperoleh jaringan untuk muncul juara.

Untuk rekod, Malaysia di bawah kendalian Datuk K Rajagobal muncul juara pada 2010 selepas menang dengan agregat 4-2 ke atas Indonesia pada aksi final yang menggunakan format timbal balik.

Thailand pula memburu kejuaraan keempat selepas mengecapi kejayaan pada tiga edisi terdahulu iaitu 1996, 2000 dan 2002. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Disember 2014 @ 10:17 PM