Oleh Aziman Rosdi dan Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Sorakan 90,000 penyokong Harimau Malaya membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini bagi aksi timbal balik Piala AFF 2014 langsung tidak menggentarkan Thailand yang mahu menoktahkan kempen dengan kejuaraan keempat mereka.

Menurut jurulatih skuad Gajah Perang Kiatisuk Senamuang, walaupun mempertaruhkan ramai pemain muda, itu tidak bermakna mereka tidak mempunyai pengalaman beraksi dalam perlawanan penting.

"Saya percaya pemain tidak akan gementar kerana mereka sudah belajar bagaimana mengawal tekanan.

"Tahun lalu kami bermain di depan penyokong Myanmar yang cukup ramai pada Sukan SEA dan selepas itu kami juga beraksi dalam perlawanan penting dengan Korea Selatan di Sukan Asia (Incheon), saya percaya mereka tidak akan gementar, mereka cuma perlu bermain seperti biasa," katanya.

Kiatisuk yang turut dikenali sebagai Zico bukan saja dipuja sebagai pemain legenda oleh penyokong mereka kerana membantu Thailand menjuarai Piala AFF pada 1996, 2000 dan 2002 malah kerana kehebatannya membawa skuad bawah 23 tahun memenangi pingat emas Sukan SEA Myanmar 2013 dan mara ke separuh akhir Sukan Asia Incheon September lalu.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Disember 2014 @ 5:03 AM