MESSI J (kiri) dan  Kroekrit Thawikan mula lancar kempen lemahkan Harimau Malaya.
MESSI J (kiri) dan Kroekrit Thawikan mula lancar kempen lemahkan Harimau Malaya.
Daripada Aziman Rosdi di Bangkok

Pemain lincah Thailand ‘Messi J’ Chanathip Songkrasin yakin Harimau Malaya boleh melupakan hasrat menjulang trofi Piala AFF kerana mereka kini dalam landasan terbaik menambah koleksi empat kejuaraan.

Chanathip, 21, menjadi tonggak kekuatan skuad Gajah Perang kendalian Kiatisuk Senamuang dalam kempen tahun ini dengan rekod tanpa kalah termasuk membenam Malaysia 3-2 pada aksi peringkat kumpulan di Singapura.

Pemain tengah BEC Tero Sasana itu meyakini kemampuan pasukannya walaupun mempertaruhkan ramai pemain muda yang menjuarai pingat emas Sukan SEA Myanmar 2013 dan menduduki tempat keempat Sukan Asia September lalu.

“Saya akan lakukan apa yang termampu untuk membantu pasukan menjuarai kejohanan ini. Saya mempunyai keyakinan terhadap potensi pasukan ini untuk menjadi juara.

“Saya percaya kami berkemampuan untuk menamatkan penantian kejuaraan 12 tahun,” katanya.

Pemain bertubuh kecil, tapi cukup lincah itu setakat ini mengumpul satu gol namun sumbangannya dalam merencana serangan Thailand, juara 1996, 2000, 2002 cukup berbahaya.

Chanathip berjanji tidak akan mengecewakan 45,000 penyokong setia di Stadium Nasional Rajamangala sebelum bertandang ke Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

“Saya terkejut dengan sokongan penyokong sekarang, ternyata kami sudah mendapat kepercayaan semula. Saya harap kami boleh membalas kepercayaan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Disember 2014 @ 6:31 AM