PEMAIN KMRC kategori B-12 cemerlang meraih kejuaraan.
PEMAIN KMRC kategori B-12 cemerlang meraih kejuaraan.

Balik Pulau: Penyertaan dua pasukan junior Kuala Muda Rugby Club (KMRC) membawa kenangan manis apabila meraih juara berganda dengan memenangi gelaran Cup Kategori B-12 Tahun dan Plate Kategori B-11 tahun dalam Kejohanan Ragbi Balik Pulau 10’s yang berlangsung di Politeknik Balik Pulau, Pulau Pinang, baru-baru ini.

KMRC menghantar dua pasukan iaitu KMRC Jr B-12 dan KMRC Jr B-11 pada kejohanan yang disertai oleh pasukan kelab ragbi seluruh negara itu.

Pada kejohanan itu, KMRC Jr B-12 berjaya menewaskan pasukan MSS Pulau Pinang U12, 27-15 di final.

KMRC Jr B-11 pula yang terlepas peluang untuk mara ke kategori Cup tidak menghampakan apabila berjaya mengungguli kategori Plate selepas menewaskan SK Junjong 20-0 di final.

Pengarah Pembangunan KMRC Nurherman Abdul Samat berkata, Pasukan KMRC Jr B-12 adalah produk pembangunan kelab yang dibentuk sejak 2015 yang mana pemainnya terdiri daripada pelajar beberapa Sekolah Kebangsaan (SK) di Kedah antaranya SK Bandar Baru Sungai Lalang, SK Lunas Jaya, SK Paya Terendam, SK Chemara dan SK Gulau.

Katanya, kerjasama dan usaha keras guru dalam melaksanakan program pembangunan sukan ragbi akhirnya membuahkan hasil yang membanggakan KMRC.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2016 @ 7:05 AM