BARISAN pemain SK Lunas Jaya muncul juara kategori plate Piala SIC.
BARISAN pemain SK Lunas Jaya muncul juara kategori plate Piala SIC.
Oleh Azahar Hashim

Kulim: Pasukan ragbi bawah 12 Sekolah Kebangsaan Lunas Jaya (SKLJ) ‘Rhinos’ boleh dianggap jaguh ragbi dalam kelas tersendiri terutama di kawasan utara kerana setiap kali menyertai kejohanan mereka pasti muncul antara tiga pasukan terbaik.

Terbaru pasukan itu menjuarai Kejohanan Jemputan Ragbi Sentuh Piala Seri Indera (SIC) di padang Sekolah Rendah Seri Indera, Kangar selepas menewaskan SK Bukit Tinggi, Alor Setar 15-5 pada perlawanan akhir.

Sebanyak 12 pasukan dari Perlis, Kedah, Perak, Pulau Pinang, Selangor, Pahang dan Terengganu menyertai kejohanan itu.

Pada peringkat awal, SKLJ beraksi cemerlang menundukkan pasukan Sekolah Kebangsaan Cyberjaya, Selangor 20-0 dan kemudian mengatasi pasukan SK Taman Awana, Alor Setar 10-5.

Namun keghairahan SKLJ mempamerkan aksi menarik di suku akhir bagi menentukan kedudukan kategori Cup dan Plate memakan diri apabila tewas kepada SK Pedah, Jerantut,Pahang 10-20.

Namun kekecewaan gagal mara kategori Cup ditebus pada separuh akhir Plate dengan membelasah SK Aman Awana, Alor Setar 20-0 dan meneruskan aksi cemerlang di final mengecewakan SK Bukit Tinggi.

Jurulatih SKLJ As’ad A Latif berkata, walaupun kecewa gagal layak ke kategori Cup, kejayaan muncul juara Plate sedikit terubat pada penyertaan kali ini berbanding 2013 apabila sekadar di tempat ketiga kategori Cup.

“Syabas kepada semua pemain yang bermain bersungguh-sungguh serta guru besar, guru-guru, warga SK Lunas Jaya dan ibubapa yang memberi sokongan kepada pasukan SKLJ,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 January 2015 @ 7:15 AM