ZAKARIA (tengah) mempamerkan trofi kejohanan.
ZAKARIA (tengah) mempamerkan trofi kejohanan.

Tanjung Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjadi universiti awam pertama menganjurkan kejohanan ragbi membabitkan pemain wanita yang akan berlangsung pada 17 Disember di Padang Kampus Sultan Abdul Jalil Shah.

Kejohanan Ragbi Wanita Jemputan Institut Pengajian Tinggi (IPT) 10 Sepasukan bagi merebut Piala Naib Canselor edisi pertama itu membabitkan kerjasama UPSI dengan Politeknik Balik Pulau (PBU).

Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Zakaria Kasa berkata, kejohanan diadakan sebagai persiapan ke arah melahirkan pemain ragbi wanita dalam kalangan institusi pengajian tinggi.

“UPSI menerusi Pusat Sukan mengambil inisiatif mengadakan kejohanan untuk melahirkan pemain ragbi wanita bertaraf negeri dan negara,” katanya.

Prof Zakaria yakin sukan ragbi berpotensi menjadi sukan elit dalam kalangan pelajar IPT terutamanya bagi wanita serta dapat menjadikan kejohanan ini sebagai acara tahunan kalendar sukan di IPT.

Sementara itu, Pengarah Pusat Sukan UPSI Mohammad Faeez Mohamad Alias berkata, kejohanan Edisi Pertama Piala Naib Canselor UPSI itu dapat menjadikan IPT sebagai pusat melahirkan pemain ragbi negara..

Kejohanan kali ini menyaksikan penyertaan lapan pasukan dari kalangan IPT iaitu UPSI (dua pasukan), Majlis Sukan Politeknik Malaysia (dua pasukan), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Mara (UTM), serta satu lagi pasukan jemputan.

Kejohanan dijalankan mengikut sistem liga peringkat kumpulan dan kalah mati pada peringkat seterusnya dengan hadiah mengikut kategori Cup, Plate, Bowl, Shield.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2016 @ 7:17 AM