MAHU Natasyah belajar selok-belok dunia hiburan memandangkan dia ada bakat cipta lagu.
MAHU Natasyah belajar selok-belok dunia hiburan memandangkan dia ada bakat cipta lagu.
Syafil Syazwan Jefri


Bulan Disember ini, genap setahun penyanyi 6ixth Sense, Adi mendirikan rumah tangga dengan Natasyah Annes Ahmad.

Namun, Adi atau nama sebenarnya Adi Priyo Sambodo bukanlah seperti segelintir artis lain yang kerap berkongsi kisah rumah tangganya.

“Isteri saya tidak terbabit dalam industri hiburan, jadi mungkin dia sedikit kekok untuk muncul pada acara hiburan. Dia sendiri juga memilih untuk tidak terlalu menonjol dan saya faham kehendaknya.

“Kadang-kadang kalau ada acara melibatkan saya sebagai artis, saya akan pujuk dia untuk turut hadir menemani, tetapi tidak pernah menghalang atau memaksanya untuk ikut,” katanya.

Menurut Adi, berbanding dulu, kini isterinya lebih banyak belajar mengenai kerjayanya dan semakin selesa dengan keadaan itu.

“Saya banyak berpesan kepadanya untuk mula belajar selok-belok industri hiburan memandangkan dia sendiri ada bakat mencipta lagu. Lagu pertama ciptaannya ialah Lelaki Teragung yang dinyanyikan Dayang Nurfaizah,” katanya.

Ditanya perubahan selepas bergelar suami, Adi teruja bercerita mengenai kehidupannya yang menjadi lebih teratur.

“Dulu ketika bujang, makan, minum, pakai semuanya diuruskan sendiri. Sekarang, saya rasa lebih terurus dan ada peneman.

“Kalau dulu, habis kerja lewat malam tidak menjadi masalah memandangkan tiada komitmen sebagai suami. Sekarang, saya selalu berfikir ada isteri yang menunggu di rumah. Studio pun sudah dipindahkan ke rumah,” katanya.

Bercerita mengenai dirinya yang baru sahaja menyambut ulang tahun kelahiran ke-33, Adi juga mempunyai beberapa perancangan dan impian yang ingin direalisasikan.

“Pada usia 33 tahun ini, saya sentiasa berdoa agar kami dikurniakan cahaya mata. Kami tidak pernah merancang apa-apa, tetapi kalau ada rezeki maka adalah.

“Saya juga bersyukur kerana kehidupan berjalan lancar dan semakin stabil. Kami juga baru berpindah rumah dan memulakan tahun pertama sebagai suami isteri dengan teratur,” katanya.

Terbaru, Adi kini dalam proses menghasilkan single baru bersama band projek dikenali sebagai Manusia Putih.

“Kami akan hasilkan semula lagu Kisah Hati dengan nafas baru. Susunan muziknya juga akan lebih segar, di samping disesuaikan dengan band projek itu yang menampilkan saya sendiri sebagai penyanyi,” katanya.

Klip video Kisah Hati versi baru ini baru saja selesai dihasilkan dan akan mula dilancarkan dalam masa terdekat.

Selain itu, Adi bersama band 6ixth Sense juga sedang mengumpul material untuk single terbaru mereka.

“Selepas hampir dua tahun kami tidak hasilkan lagu baru, insya-Allah kami akan muncul dengan buah tangan terbaru dan apa yang boleh saya katakan, lagu ini menampil­kan kelainan berbanding karya kami sebelum ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2016 @ 5:02 AM