TETAMU yang hadir ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Pertubuhan Amal Darul Mahabbah Gerik bersama rakyat dan pelajar tahfiz. FOTO Ihsan Pertubuhan Amal Darul Mahabbah Gerik
TETAMU yang hadir ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Pertubuhan Amal Darul Mahabbah Gerik bersama rakyat dan pelajar tahfiz. FOTO Ihsan Pertubuhan Amal Darul Mahabbah Gerik
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Pertubuhan Amal Darul Mahabbah Gerik berazam melahirkan lebih ramai pelajar tahfiz yang bukan hanya menjadi huffaz tetapi juga berupaya menyambung pengajian tinggi hingga ke luar negara.

Pengerusi Pertubuhan Amal Darul Mahabbah Gerik, Hazmin Mokhtar yakin hasrat itu boleh direalisasikan kerana melihat kejayaan kira-kira 17 alumni yang menyambung di Universiti Al-Azhar, Mesir dan pusat pengajian dekat Yaman.

Menurutnya, jika alumni berkenaan boleh melakukannya, tidak mustahil pelajar sedia akan mengikut jejak langkah untuk menjejakkan kaki ke menara gading.

"Buat masa ini, kita ada 85 pelajar yang berdaftar dengan pertubuhan dan mereka terdiri daripada 55 lelaki, selebihnya perempuan berusia 12 sehingga 17 tahun.

"Sebahagian daripada mereka membayar yuran, manakala bagi anak yatim mereka mengikuti pengajian secara percuma hasil dana daripada penyumbang.

"Tapi apa yang penting, mereka bukan hanya berada di pusat untuk mendalami ilmu agama saja tapi cuba mengikuti kelas akademik macam biasa kerana kita enggan mereka ketinggalan.

"Kelas bermula jam 7 pagi hingga 2.30 petang dengan bantuan 11 tenaga pengajar," katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama rakyat dan pelajar tahfiz di sini.

Pada majlis itu, seramai 70 asnaf dan pelajar tahfiz dari Madrasah Tahfiz Mafatihul Ulum yang berpangkalan di Taman Ampang Utama, Selangor serta Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Ulin Nuha diraikan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2024 @ 6:36 PM