KEADAAN motosikal ditunggang anggota bomba yang terbabit kemalangan. FOTO Ihsan IPD Alor Gajah.
KEADAAN motosikal ditunggang anggota bomba yang terbabit kemalangan. FOTO Ihsan IPD Alor Gajah.
Meor Riduwan Meor Ahmad


Alor Gajah: Anggota bomba parah selepas terbabit kemalangan dengan kenderaan pacuan empat roda di Jalan Padang Kerbau berhadapan Taman Merpati Putih, Durian Tunggal, dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi itu, mangsa, Izzat Muhaimin Araham Shah,26, yang menunggang motosikal Honda RS 150 dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheng dari Taman Scientex Durian Tunggal.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kenderaan pikap Toyota Hilux dari arah Durian Tunggal membelok ke kanan Jalan Haji Sallehudin dan dilanggar motosikal di bahagian sisi kiri.

"Akibat kemalangan, penunggang motosikal patah tangan kanan dan kecederaan dalaman.

"Mangsa kini dirawat di zon merah, Hospital Melaka manakala pemandu pikap berusia 43 tahun tidak cedera," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ashari berkata, orang ramai yang mengetahui kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi menyalurkan maklumat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kedua-dua kenderaan terbabit kini ditahan untuk dibawa menjalani pemeriksaan di Puspakom," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka, R Saiful Iswandy R Hassan berkata, Izzat Muhaimin masih tidak sedarkan diri dan dirawat di zon merah unit kecemasan Hospital Melaka.

Katanya, laporan awal daripada doktor memaklumkan mangsa mengalami pendarahan dalaman pada paru-paru dan dalam kepala selain patah peha.

"Dalam pertemuan dengan doktor tadi, saya dimaklumkan keadaan mangsa masih kritikal dan tidak sedarkan diri," katanya dihubungi.

Beliau berkata, mangsa bertugas di BBP Cheng sejak empat tahun lalu dan baharu sahaja menimang cahaya mata kedua, dua minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2024 @ 6:44 PM