GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Faris Fuad


Putrajaya: Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan seorang wanita berusia 38 tahun bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengembalikan status agamanya sebagai Islam.

Keputusan itu dibuat panel tiga hakim dengan majoriti 2-1 dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Datuk Abu Bakar Jais, manakala Datuk Mary Lim Thiam Suan menentang keputusan majoriti.

Abang Iskandar berkata, Mahkamah Rayuan tidak terkhilaf ketika memutuskan supaya wanita itu dikembalikan status agama terbabit.

"Maka, keputusan Mahkamah Rayuan itu dikekalkan dan rayuan wanita terbabit ditolak.

"Mahkamah tidak membuat perintah untuk sebarang kos dalam rayuan kes ini," katanya.

Wanita itu merayu terhadap keputusan majoriti 2-1 Mahkamah Rayuan pada 13 Januari 2023, yang mengembalikan status agamanya sebagai seorang Islam.

Wanita itu berkata, dia masih kecil ketika ibunya bertindak mengislamkannya pada 1991.

Ibunya berkahwin dengan seorang lelaki beragama Islam selepas bercerai dengan bapa wanita itu.

Namun, ibu dan bapa tiri wanita itu membenarkan dia terus mengamalkan kepercayaan Hindu, agama yang dianuti sejak dilahirkan walaupun sudah memeluk Islam.

Pada 12 Disember 2013, wanita itu memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa dia tidak lagi beragama Islam.

Bagaimanapun pada 20 Julai 2017, Mahkamah Tinggi Syariah menolak saman itu, sebelum Mahkamah Rayuan Syariah menolak rayuannya pada 1 Ogos tahun sama.

Selepas gagal di Mahkamah Syariah, wanita itu kemudian memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Sivil Shah Alam dan berjaya mendapat pengisytiharan bahawa dia bukan beragama Islam.

Bagaimanapun, keputusan itu diketepikan oleh Mahkamah Rayuan yang membenarkan rayuan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Kerajaan Selangor.

Sementara itu, Thiam Suan berkata, wanita itu ditukar agama kepada Islam ketika berusia lima tahun pada 17 Mei 1991.

"Wanita itu bawah umur dan belum baligh ketika ditukar agama oleh ibunya yang jelas tidak sah.

"Identiti wanita itu mengikut perlembagaan kekal dengan agama ketika dilahirkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2024 @ 5:46 PM