HADIR bersama adalah Sakura Band, Cherpen Band dan Zara Ali pada pelancaran album Sense of Love.
HADIR bersama adalah Sakura Band, Cherpen Band dan Zara Ali pada pelancaran album Sense of Love.
Oleh Georgie Joseph


Bila bergerak di bawah mana-mana label atau syarikat rakaman, setiap artis perlu akur terhadap peraturan yang mana secara langsung mengehadkan gerak-geri mereka.

Sama ada strategi pemasaran yang dikawal hing­galah kepada kebebasan berkarya, sekali gus membantutkan banyak keinginan peribadi.

Atas sebab itu 6ixth Sense mengambil keputusan meninggalkan syarikat rakaman yang memayungi mereka sebelum ini.

Walaupun kemungkinan keputusan itu bakal menjerat mereka, namun band yang dianggotai (vokalis), Gjie (gitar utama), Wan (drum), Ayoy (bass), dan Athan (gitar kedua) gembira dengan keputusan itu.

Mereka kini memiliki label sendiri iaitu 6ixth Sense Production sekali gus bebas untuk merencanakan setiap perkara yang mereka inginkan.

Paling utama, tentu sekali daripada segi penghasilan karya.

Bagaimanapun, menurut Adi timbul juga kebimbangan apabila sudah bergerak sendiri. Namun, melihat daripada perspektif positif, mereka sedia dengan segala cabaran.

“Sebenarnya sudah lama kami terfikir untuk bergerak dengan label sendiri. Selepas lebih dua tahun barulah tekad dengan keputusan itu. Sudah lama sangat di bawah telunjuk orang, ba­nyak benda yang jadi terhad.

“Kami penat dengan peraturan. Makanya, bergerak sendiri jalan terbaik dan kami sedia untuk jadikan hal ini cabaran buat kami sekarang,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, keputusan itu adalah bertitik-tolak daripada pengalaman sebelum ini bekerjasama dengan ramai artis untuk penghasilan lagu. Atas dasar itulah, menurutnya mereka yakin akan mampu mengendalikan sendiri label itu.

“Kami pernah bekerjasama dengan ramai artis seperti Datuk Siti Nurhaliza, Datin Alyah, Najwa Latif dan lain-lain. Daripada hanya bertindak menghasilkan lagu, ia membuka mata kami untuk mengetahui susur galur bagaimana meraih pendapatan sendiri,” katanya.

Yang pasti, bukan saja perlu menguruskan 6ixth Sense sendiri, namun kini mereka perlu merencanakan juga karier dua band di bawah naungan mereka iaitu Sakura Band dan Cherpen Band.

Menjadikan tugasan mereka lebih berat, menurut Adi perkara itu bagaimanapun memberi ruang mereka belajar lebih banyak benda baru.

“Dalam tempoh dua tahun menyepi, kami sebenarnya sibuk membuat persiapan album kompilasi yang mana album berkenaan dibuat sendiri. Memang mencabar kerana kami perlu memikirkan konsep, kulit album serta mengeluarkan dana sendiri.

“Sebelum ini kami tidak perlu fikir banyak hal kerana ada pihak pengurusan sendiri, namun sekarang memang pening apabila terpaksa mengendalikan artis lain pula.

“Dari segi dana pula, kami sebenarnya belum mendapat pulangan setakat ini, namun yakin berbekalkan pengalaman lalu di mana kami sendiri menghasilkan lagu untuk artis lain membuatkan kami lebih berani,” katanya.

6ixth Sense yang kini tampil dengan single terbaru berjudul 7 Kali Malam Ming­agu menyifatkan ia sebagai pembuka terbaik kepada perjuangan baru muzik mereka.

“Ini adalah konsep yang sekian lama kami mahu tunaikan dan pertama kali dibuat selepas keluar dari label. Single itulah yang kami akan pertaruhkan sekarang ini dan mahu promosi sekali dengan lagu Sakura Band, Cherpen Band serta pendatang baru Zara Ali dalam album Sense of Love,” katanya.

6ixth Sense juga bakal mengadakan persembahan berjudul Sense Of Love di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur pada 29 Mac ini jam 9 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mac 2015 @ 8:31 AM