PERSEMBAHAN bertenaga daripada  6ixth Sense.
PERSEMBAHAN bertenaga daripada 6ixth Sense.
Syanty Octavia Amry


Hampir 10 tahun berjuang sebagai anak seni, kumpulan 6ixth Sense berpuas hati apabila buat pertama kalinya berjaya persembahan di depan peminat mereka di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

6ixth Sense yang dianggotai Mohd Faiz Azizi (Gjie) selaku pemain gitar utama, Safuan Hasnan (Wan)pemain drum, Shahrul Effendy (Atan) pemain gitar kedua, Mohd Fairuz (Ayoy) pemain bass dan Adi Priyo Sambodo (Adi)vokalis, mengakui 10 tahun adalah tempoh yang begitu panjang dan seharusnya mereka mampu mengadakan konsert.

Mengakui perancangan mengadakan konsert tidak semudah disangka, mereka memilih persembahan ini sebagai permulaan dan menghargai sokongan peminat terhadap mereka selama ini.

Ditemui selepas selesai persembahan, Adi berkata, walaupun peminat yang hadir tidak terlalu ramai, namun mereka berpuas hati dengan sambutan yang diterima.

“Alhamdulillah kami lega persembahan malam ini berlangsung dengan jayanya. Walaupun terhad, kami gembira dapat menghiburkan peminat. Ini hadiah buat peminat selepas 10 tahun kami terbabit dalam bidang seni.

“Ini juga platform untuk kami menunjukkan kepada peminat bahawa kami masih mampu mengadakan persembahan. Insya Allah jika tiada halangan kami mengadakan persembahan di Hard Rock Cafe Melaka pula,” katanya.

Dalam persembahan itu, mereka membawakan 12 lagu antaranya Cinta Matiku, Semanis Cinta, Hari Ini dan Semalam, Tanpa, Menyesal, Sebuah Maksud, Dari Hati, Tak Bisa Memilihmu, Penerang Hati, Tujuh Kali Malam Minggu, Yang Sempurnakan Aku dan Khatimah Cinta.

Selain 6ixth Sense, dua anak didik mereka iaitu Cerpen Band dan Sakura Band turut membuat persembahan pembukaan dengan menyanyikan lagu seperti Sumpah Menyintai Sumpah Merindui, Hilang Naluri, Selalu Denganmu, I Love It, Melepaskanmu dan Pelarian.

Turut kelihatan pada malam showcase itu ialah beberapa rakan artis seperti Dayana Roza, Encik Mimpi dan Shima Anuar.

Dalam pada itu, mengulas mengenai perkembangan terbaru mereka, Adi berkata, mereka kini fokus terhadap album kompilasi Sense of Love selain sibuk menghasilkan beberapa lagu untuk album terbaru mereka yang dijangka siap tahun depan.

“Kami selesa berada di belakang tabir menguruskan Cerpen Band, Sakura Band dan Zara Ali. Bukan kerana sudah tidak mahu menyanyi, tetapi kami mahu meluaskan lagi bakat seni yang ada pada diri untuk dikongsi dengan artis di bawah naungan kami.

“Selain itu, kami juga turut menjalinkan kerjasama dengan Belia Wawasan Baru Putrajaya. Peranan kami ialah menyertai aktiviti yang mereka anjurkan bagi menarik belia untuk terbabit sama selain menghasilkan lagu tema untuk persatuan berkenaan.

“Untuk tahun ini, mereka menganjurkan program kahwin beramai-ramai yang diadakan di lima tempat antaranya Johor, Putrajaya, Kuantan, Pahang, Kedah dan Titiwangsa, Kuala Lumpur.

“Setiap belia yang ingin turut serta hanya perlu membayar RM5,000 pendaftaran. Selain acara kahwin beramai-ramai, mereka juga turut menganjurkan kursus umrah dan kami turut terbabit sama untuk acara kursus itu.

“Rasa gembira dan teruja kerana dapat melakukan sesuatu buat belia di Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2015 @ 10:53 AM